Berita Gerakan

Gerakan dakwa kerajaan P. Pinang gagal kekang penularan Covid-19

Sep 23, 2021

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang membidas Kerajaan Negeri kerana gagal melaksanakan tanggungjawab dalam usaha mengekang penularan Covid-19 hingga menyebabkan jangkitan virus tersebut semakin serius di negeri ini.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, ia terbukti apabila kadar kematian di negeri ini lebih tinggi berbanding negeri lain di utara tanah air.

Jelas beliau, ini sekali gus menunjukkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara bagi negeri itu bertindak pasif dalam memerangi Covid-19 di Pulau Pinang.

“Dua minggu lepas, kadar kematian di Pulau Pinang adalah 17.5 bagi setiap 100,000 orang. Angka ini mencetus kebimbangan dalam kalangan rakyat negeri ini, namun pemimpin negeri seolah-olah memandang ringan berkaitan isu tersebut.

“Persoalan yang timbul di sini, mengapa keadaan ini berlaku sedangkan Pulau Pinang mempunyai ramai wakil rakyat yang bertanggungjawab dalam pengurusan Covid-19?

“Justeru, kami menggesa Chow Kon Yeow, Ahli Exco Kesihatan Negeri Dr. Norlela serta Steven Sim yang merupakan penyelaras pengurusan Covid-19 antara kerajaan Pulau Pinang dengan kerajaan pusat untuk memberi penjelasan kepada rakyat negeri ini berhubung langkah yang diambil bagi memerangi Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Tong Keong, kerajaan negeri Pulau Pinang perlu bersikap proaktif dan mengambil berat keselamatan rakyat dalam memastikan penularan Covid-19 di negeri ini dapat dikurangkan. – MalaysiaGazette