Siaran Akhbar

GERAKAN tidak bersetuju dengan tindakan Menteri Perdagangan

Jan 10, 2024

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) tidak bersetuju dengan tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang membenarkan warga asing membeli minyak masak paket bersubsidi malah had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Ketua Biro Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana GERAKAN Dato’ Chng Boon Chye berkata, tindakan tersebut menyebabkan stok minyak paket bersubsidi cepat berkurangan kerana had pembelian untuk warga asing dan rakyat Malaysia adalah sama.

Jelas beliau, tidak kira bagaimana sekalipun, kerajaan perlu mengutamakan rakyat Malaysia. Di manakah keistimewaan rakyat Malaysia jika had pembelian sama seperti warga asing. Ini adalah tidak adil.

“Situasi yang tidak adil yang saya maksudkan, sebagai contoh setiap keluarga di Malaysia sudah pasti akan dibenarkan membeli tiga paket minyak paket sahaja setiap pembelian”

“Tetapi untuk warga asing lain, mereka datang beramai-ramai dan membeli tiga minyak paket untuk setiap orang walaupun tinggal dalam satu rumah. Jadi ini yang saya katakan tidak adil dan tidak efektif kerana ia mengakibatkan stok minyak paket akan cepat berkurang. ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mewujudkan satu mekanisme yang adil dan telus agar penggunaan subsidi menjadi lebih wajar dan adil. Oleh itu, GERAKAN menggesa kerajaan untuk mengambil langkah-langkah seperti berikut:

1. Pendidikan dan Perubahan: Memperkasakan pendidikan dan penyebaran maklumat mengenai asal-usul dan tujuan subsidi, agar masyarakat lebih memahami maksud dan penggunaan subsidi yang diperuntukkan.

2. Panduan Yang Jelas: Menetapkan garis panduan yang jelas untuk memastikan penggunaan subsidi adalah wajar dan menyokong cara kehidupan asas. Sebagai contoh, mekanisme pembelian minyak masak terhad kepada 3 bungkus bagi satu keluarga adalah cukup wajar, tetapi jika untuk warga asing, tetapkan 2 bungkus untuk setiap seorang.

3. Pemantauan dan Penyesuaian: Membentuk mekanisme pemantauan yang berkesan, untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan subsidi minyak masak, seperti pembelian dalam kuantiti besar untuk dijual semula dengan harga tinggi.

Akhir sekali, GERAKAN mengharapkan kerajaan mendapat mempertimbangkan cadangan yang diberi agar rakyat Malaysia dapat diutamakan.

Dato’ Chng Boon Chye
Ketua Biro Pembangunan
Perusahaan Kecil Dan Sederhana
Parti Gerakan Rakyat Malaysia