Siaran Akhbar

Siasat isu yang tular di media sosial semalam di mana sebuah sekolah rendah

Jan 17, 2024

GERAKAN menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyiasat isu yang tular di media sosial semalam di mana sebuah sekolah rendah kebangsaan mengadakan majlis graduasi di sebuah hotel dan dikenakan bayaran RM50 ringgit untuk setiap pelajar yang terlibat.

Ketua Wanita GERAKAN Negeri Johor Susan Yong Fui Ling berkata, isu ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa dan KPM perlu mengambil maklum kerana mengadakan majlis graduasi di hotel untuk sekolah rendah adalah tidak sepatutnya diterima.

Bukankah sebelum ini majlis graduasi dilakukan secara sederhana di halaman sekolah tetapi kenapa kebelakangan ini adanya pentadbiran sekolah menggunakan tempat seperti hotel. Ini adalah budaya yang tidak sepatutnya diabaikan.

“Ibu bapa terpaksa membayar lebih untuk majlis graduasi yang akan menambah beban kepada mereka dan pihak sekolah perlu sedar bahawa tidak semua murid sekolah rendah datangnya dari keluarga yang berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam hal ini GERAKAN menggesa KPM untuk melakukan pengawasan kos majlis graduasi dan menetapkan garis panduan yang jelas untuk mengelakkan sekolah daripada melakukan majlis graduasi di tempat yang mewah seperti hotel. Dengan itu, pihak ibu bapa boleh menghadiri bersama-sama anak mereka ke majlis graduasi tersebut.

Selain itu, KPM juga perlu mempromosikan kesederhanaan dan praktikal dalam agenda pengurusan pendidikannya. Majlis graduasi sekolah adalah untuk meraikan pencapaian pelajar, bukan untuk memperlihatkan kemewahan sekolah.

Jadi, GERAKAN sekali lagi menyeru kepada KPM untuk ambil tindakan yang tegas terhadap isu ini agar dapat membantu meringankan beban ibu bapa yang kini kian sukar disebabkan kos sara hidup yang tinggi. Jangan lupa, rakyat hari ini sedang menderita di bawah pemerintahan Kerajaan Anwar Ibrahim.

Susan Yong Fui Ling
Ketua Wanita Negeri Johor
Parti Gerakan Rakyat Malaysia