Berita Gerakan

ADUN Buntong bukan satu beban bagi Gerakan

Jun 27, 2020

IPOH – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Perak menyifatkan kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, S Subramaniam ke dalam parti itu bukanlah satu bebanan seperti didakwa DAP.

Naib Pengerusinya, V Sugumaran berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan bekas wakil rakyat DAP selama tiga penggal itu ke dalam Gerakan.

Beliau berkata, Gerakan Bahagian Ipoh Barat akan bersama-sama membantu Sivasubramaniam mengadakan program serta menyelesaikan pelbagai masalah penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

“Kami hairan mengapa setelah tiga penggal Sivasubramaniam menjadi ADUN DAP, baru sekarang beliau menjadi beban dan bermasalah.

“Jika Sivasubramaniam seorang yang bermasalah, takkan tiga penggal boleh kekal jadi wakil rakyat,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Sugumaran berkata demikian sebagai mengulas kenyataan DAP Perak semalam yang secara sinis berterima kasih kepada Gerakan kerana menerima Sivasubramaniam sebagai ahli parti itu.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Setiausaha Gerakan Bahagian Ipoh Barat, V Subramaniam.

Beliau yang juga Ketua Gerakan Bahagian Ipoh Barat berkata, pihaknya yakin Sivasubramaniam akan bersama mereka bekerja sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Sementara itu, Subramaniam berkata, DAP Perak tidak layak untuk bercerita soal prinsip kerana banyak janji pilihanraya yang tidak dipenuhi.

Menurutnya, pengakuan DAP Perak bahawa parti itu kini bersih membuktikan bahawa selama ini organisasi mereka bermasalah.

“Mereka tidak layak hendak tentukan siapa yang rakyat hendak hukum pada pilihan raya umum akan datang sebaliknya serahkan keputusan itu kepada rakyat.

“Apa yang rakyat mahukan adalah seorang pemimpin bekerja membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Semalam Sivasubramaniam mengambil keputusan menyertai Gerakan setelah bersama DAP selama 23 tahun.