Siaran Akhbar

Ang Chin Tat ucap terima kasih atas pelantikan Naib Pengerusi PN Selangor

Feb 23, 2021

Pengerusi GERAKAN Selangor Datuk Ang Chin Tat merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional, YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional Selangor serta semua ahli jawatankuasa Perikatan Nasional Negeri Selangor di atas pelantikan beliau sebagai Naib Pengerusi Perikatan Nasional Selangor.

Beliau berkata, pelantikan ini merupakan suatu penghormatan dan memberi peluang untuk berkhidmat merealisasikan usaha PN Selangor. Tambah beliau, ia merupakan tanggungjawab yang besar kepada Parti GERAKAN dalam memastikan kemenangan Perikatan Nasional dalam PRU15.

“Terima kasih di atas perlantikan ini. Amanah dan kepercayaan yang diberikan akan dipikul sebaik mungkin dalam memastikan Perikatan Nasional, khususnya Perikatan Nasional Selangor menang besar di Negeri Selangor.”

Beliau berkata, penyertaan GERAKAN ke dalam Perikatan Nasional telah membuktikan dasar Perikatan Nasional yang inklusif dan meraikan kepelbagaian.

“Ia mampu memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat dan membawa maksud kepelbagaian dalam gabungan baru tersebut.”

“Secara khususnya, GERAKAN Negeri Selangor akan bersama dengan parti-parti komponen Perikatan Nasional di Negeri ini dalam memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan sosial-ekonomi di negeri ini terus diutamakan.”

Beliau juga menegaskan bahawa keutamaan PN ketika ini adalah memerangi wabak COVID-19 dan memastikan program vaksinasi negara dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Mesyuarat Badan Perhubungan PN Selangor juga membincang masalah dan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat dan strategi memulihkan ekonomi negara. Kerajaan PN akan terus fokus kepada isu-isu yang berkaitan dengan rakyat dan sentiasa sedia untuk membantu mereka.”