Berita Gerakan

Bantuan bersasar perlu data lebih terperinci

Dis 6, 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengumpul data secara terperinci dalam memberi bantuan secara bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai bertanya, sama ada kerajaan melakukan demikian dalam proses menyalurkan bantuan tersebut.

Beliau memberikan contoh bahawa seseorang individu yang tidak mempunyai apa-apa tanggungan seperti pasangan, anak-anak atau ibu-bapa, tetapi terpaksa menanggung ahli keluarga lain seperti datuk, nenek, makcik dan adik-adik Orang Kurang Upaya (OKU).

Sehubungan itu, katanya individu berkenaan seharusnya layak untuk menerima bantuan bersasar kerajaan.
“Jadi saya ingin meminta timbalan menteri untuk menjelaskan mengenai perkara tersebut,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib menyatakan kerajaan akan cuba merangkumi semua aspek dengan selengkap yang boleh bagi pemberian bantuan secara bersasar.

“Berdasarkan maklumat yang kita gabungkan daripada agensi-agensi kerajaan akan memastikan bahawa jikalau seseorang itu telah mempunyai tanggungan kepada ibu bapa, maka ia juga akan menerima bantuan tersebut,” katanya.