Berita Gerakan

Benarkan sektor ekonomi beroperasi boleh kurangkan kadar pengangguran

Mei 1, 2020

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan untuk membenarkan sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa pada Isnin depan mampu memberi nafas lega kepada mereka yang hilang punca pendapatan sebelum ini.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, tinjauan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS), sebanyak 25 peratus PKS dari industri perkhidmatan, kedai runcit dan industri perkilangan tidak memiliki aliran tunai yang secukupnya untuk bertahan hingga bulan depan.

“Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyokong keputusan kerajaan itu. Ia akan memungkinkan kita untuk mencapai keseimbangan antara memerangi Covid-19 dan pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan tidak boleh terus membiarkan orang ramai terus tinggal di rumah dan menghentikan semua kegiatan ekonomi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dominic, beliau percaya, tindakan kerajaan membenarkan pengoperasian semula industri akan mengurangkan masalah pengangguran.

Katanya, PKS dalam negara menyumbang lebih 70 peratus perusahaan tempatan yang mana dua pertiga daripadanya merupakan peluang pekerjaan serta 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dengan hanya menjaga perusahaan itu, rakyat tidak akan hilang pekerjaan, katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai bahawa memulihkan sebahagian besar kegiatan ekonomi dan menyambung semula pekerjaan pada minggu depan tidak bermaksud Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah ditamatkan.

Sebaliknya, ia merupakan sedikit kelonggaran bersyarat dan orang ramai masih tidak boleh bergerak bebas seperti mengadakan aktiviti berkumpulan atau merentas negeri.

Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khasnya sempena Hari Pekerja menyatakan, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Langkah itu diambil setelah melihat situasi yang dihadapi apabila negara mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Setakat ini jumlah kerugian yang dialami dianggarkan sekitar RM63 bilion.