Siaran Akhbar

Berhenti bersikap hipokrit dan berpura-pura sebagai jaguh isu undi 18

Apr 7, 2021

Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyoalkan tujuan Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang dan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) untuk melancarkan logo “Umur 18 Jadi Calon” dan soal selidik bagi mengumpulkan pandangan orang ramai berkaitan pelaksanaan pindaan umur calon ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun di Pulau Pinang.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Wong Chia Zhen menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang untuk berhenti bersikap hipokrit dan berpura-pura sebagai jaguh isu undi 18.

Beliau berkata, DAP telah memerintah di negeri Pulau Penang selama 13 tahun tetapi nampaknya mereka masih tidak tahu bagaimana menjadi kerajaan negeri. Sebenarnya mereka hanya perlu menyediakan rang undang-undang pindaan perlembagaan negeri dengan secepat mungkin untuk menurunkan umur calon ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun di Pulau Pinang.

“Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 bagi menurunkan had usia pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Jadi kami ingin tanya kerajaan negeri Pulau Pinang kenapa perlunya mengadakan soal selidik untuk mengumpulkan pandangan sama ada setuju atau tidak bagi pelaksanaan pindaan umur calon ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pemuda GERAKAN juga menasihatkan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menyelesaikan rang undang-undang pindaan perlembagaan negeri supaya ia boleh membentangkan di dewan undangan negeri yang akan datang dan bukannya membuang masa untuk menjalankan soal selidik.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang benar-benar mengambil berat tentang hak mengundi orang muda yang berusia 18 tahun, maka Pulau Pinang seharusnya menyelesaikan kerja meminda perlembagaan negeri untuk membolehkan mereka yang berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya, tetapi isu ini tidak pernah disebut oleh kerajaan negeri dalam mesyuarat DUN yang diadakan pada 12 hingga 16 Oktober tahun lalu.