Berita Gerakan

Berita-berita Ringkas Dewan Negara: 20 Dis

Dis 20, 2021

10 PELAJAR OKU TAMAT PENGAJIAN DI MRSM DARI 2018-2020

KUALA LUMPUR — Seramai 10 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) telah menamatkan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sejak 2018 hingga tahun lepas manakala 12 orang sedang mengikuti pengajian di institusi pendidikan itu tahun ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah berkata daripada 10 pelajar yang menamatkan pengajian di MRSM itu, ada antara mereka meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi antaranya politeknik, matrikulasi, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi MARA.

“MARA mengambil inisiatif untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur di MRSM supaya menjadi lebih mesra OKU. Selain itu, iklan dan promosi kemasukan ke MRSM juga dibuka kepada golongan OKU,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang ingin tahu jumlah pelajar OKU yang berjaya menamatkan pengajian di MRSM serta usaha kementerian dalam menggalakkan lebih ramai golongan berkenaan memasuki MRSM.

— BERNAMA


GERAKAN ARAH PASUKAN SUKARELAWAN BANTU MANGSA BANJIR DI SELURUH NEGARA

KUALA LUMPUR — Pasukan sukarelawan Gerakan telah diarahkan untuk membantu mangsa terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara sejak Sabtu lepas.

Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata pasukan yang digerakkan termasuk sukarelawan bomba parti itu bagi membersihkan tempat yang terjejas di seluruh negara.

“Kita akan teruskan (membantu) sebagai satu parti yang prihatin, kita akan teruskan beri bantuan. Saya berharap selain daripada bantuan diberikan kerajaan, semua lapisan masyarakat tak kisah kaum, agama dan budaya akan saling memberi bantuan kepada sesiapa memerlukan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

— BERNAMA


TARIKH SIAP JAMBATAN RENTAS LANDASAN KERETA API WAKAF BHARU DILANJUTKAN

KUALA LUMPUR — Tarikh siap projek Jambatan Rentas Landasan Kereta Api, Wakaf Bharu, Tumpat dilanjutkan kepada 22 Julai tahun depan, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata tarikh siap asal projek tersebut adalah pada 18 Ogos tahun ini, namun terpaksa dilanjutkan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) komited untuk memastikan kontraktor dilantik akan melaksanakan projek ini mengikut jadual seperti dirancang demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) bagi KKR pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

— BERNAMA


SEMAKAN SEMULA AKTA OKU 2008 SEDANG DIPERGIAT

KUALA LUMPUR — Usaha menyemak semula Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 sedang giat dijalankan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui penubuhan Pasukan Projek Khas, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata pasukan berkenaan merangkumi keahlian wakil daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, badan profesional, ahli akademik, kementerian dan agensi berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) bagi kementerian berkenaan pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

— BERNAMA

印度庙土地易主被迫搬迁 州政府提供土地 等庙方接受

印度庙土地易主被迫搬迁 州政府提供土地 等庙方接受

(居林19日讯)建在油棕园内的印度庙在土地易主后,面对搬迁问题,引发地方上印裔社群的不满;吉打州印裔事务委员会主席黄佳祯强调,吉打州政府没有拆除该庙的意愿,反而提供一片0.709英亩土地,作为该庙搬迁用途,目前等候庙方的接受。

baca lagi