Berita Gerakan

Berita ringkas Bernama: 14 Dis

Dis 14, 2021

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) berusaha memperkukuh jalinan kerjasama dengan Perpustakaan Kuala Lumpur dalam mempertingkatkan budaya pembelajaran sepanjang hayat di negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata PNM telah menyumbangkan perpustakaan di UTC Keramat pada 10 Sept lalu sebagai inisiatif kemajuan insaniah bagi penduduk di ibu kota.

“DBKL melalui Perpustakaan Kuala Lumpur menguruskan sebanyak 15 perpustakaan di bandar raya ini. Pelbagai perkhidmatan disediakan kepada masyarakat termasuk bahan bacaan dan rujukan sama ada dalam bentuk fizikal mahupun digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

— BERNAMA

PELAJARI TANGANI BULI DARI NEGARA LAIN – GERAKAN

KUALA LUMPUR, 14 Dis  (Bernama) — Gerakan mencadangkan agar kerajaan mempelajari cara mengekang insiden buli di sekolah dari negara lain.

Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menerusi satu kenyataan berkata kerajaan boleh mengambil contoh dari Amerika Syarikat (AS) dan mencadangkan penggubalan undang-undang antibuli bagi menangani secara berkesan mereka yang terlibat dengan perbuatan tersebut.

Beliau juga berkata setiap peringkat dalam komuniti memainkan peranan sama penting bagi menyelesaikan insiden buli di sekolah secara berkesan, terutama ibu bapa, sekolah dan kerajaan, selain turut menyarankan agar Kementerian Pendidikan mewujudkan ‘Minggu Antibuli’ dengan mengadakan pelbagai aktiviti publisiti antibuli.

— BERNAMA