Berita Gerakan

Covid-19: Kerajaan diminta pertimbangkan Bantuan Sara Hidup Media

Apr 20, 2020

SHAH ALAM – Kerajaan disaran memberi elaun Bantuan Sara Hidup Media khusus bagi menghargai petugas-petugas media yang berkorban membuat liputan pandemik koronavirus (Covid-19) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua Biro Perpaduan Kebangsaan Parti Gerakan, H Puvaniten berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan dan diberi perhatian oleh kerajaan, tambah lagi tempoh pelanjutan PKP kini memasuki fasa ketiga dan para petugas media terus berdepan risiko Covid-19.

Beliau berkata, Malaysia kini banyak bergantung kepada pemberitaan petugas-petugas media yang membuat liputan sidang akhbar oleh pelbagai pihak, membuat tinjauan keadaan di jalan raya termasuk bersama barisan ‘frontliners’ untuk melaporkan perkembangan terkini status wabak Covid-19 di seluruh negara.

Malah katanya, baru-baru ini terdapat berita di mana ada petugas media yang terkena wabak Covid-19 ketika membuat liputan dan mungkin ini memberikan impak kepada petugas-petugas yang lain.

“Pendapatan mereka banyak bergantung kepada organisasi-organisasi berita masing-masing, jadi persoalan tanggungan keluarga pihak media juga harus kita fikirkan.

“Saya berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat menyegerakan pemberian Bantuan Sara Hidup Media kepada para petugas media,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ia juga bagi memastikan sumbangan bantuan itu terus sampai ke tangan mereka dan tidak perlu melalui proses yang sukar untuk mendapatkan bantuan tersebut terutamanya bagi petugas-petugas media yang berstatus kontrak atau ‘piece mail’ kerana ada yang membuat kerja pemberitaan mengikut bayaran harian.

Menurutnya, sumbangan itu akan menjadi satu penghargaan kerajaan terhadap petugas-petugas media yang membahayakan diri mereka membuat liputan berkaitan wabak Covid-19 tanpa mengira waktu.

 

Dalam pada itu, Puvaniten berkata,Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga disaran mengambil berat tentang keberadaan media penyiaran dan bercetak di lokasi-lokasi pemberitaan wabak Covid-19.

“Perlu ada ‘follow up’ dengan semua organisasi-organisasi media di dalam negara supaya keselamatan dan kebajikan para petugas media dijaga sewaktu tempoh kritikal ini kerana mereka terdedah kepada bilangan kontak yang tinggi sepanjang membuat liputan.

“Jangan sekadar melihat sumbangan pemberitaan sahaja tetapi perlu melihat bagaimana petugas-petugas media berkorban untuk membuat liputan berkenaan,” katanya.

Puvaniten berkata, setakat ini, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dilihat membuat sumbangan kits Keselamatan Covid-19 seperti topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan untuk keselamatan para petugas media membuat liputan di luar.