Siaran Akhbar

DAP Kaki Hasut Bukan Melayu

Jun 10, 2021

Apabila gagal memerintah negara selama 22 bulan, Parti DAP kembali kepada perangai sebenar iaitu menjadi kaki hasut orang bukan Melayu mengenai kegagalan kerajaan Perikatan Nasional yang majoritinya Melayu.

Setiuasaha Agung Nasional Parti GERAKAN, Mak Kah Keong berkata, sekecil-kecil isu hingga ke sebesar-besar isu akan diputar belit sebagai penganiayaan kerajaan Melayu kepada bukan Melayu.

“Terkini, DAP, menyalahkan MCA iaitu parti komponen kerajaan kerana gagal menjaga kepentingan kaum Cina apabila isu rumah pengurusan mayat tidak dibenarkan buka ketika awal PKP.

“Parti anak beranak Lim ini sudah tidak ada modal dan hanya mencari publisiti murahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Danny Ng yang juga Setiausaha Publisiti DAP Bentong menyalahkan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker selaku Timbalan Menteri Perpaduan gagal menyuarakan permasalahan kaum Cina.

Mak berkata, sudah tidak ada modal DAP dilihat memainkan isu pengurusan jenazah yang meninggal dunia disebabkan COVID-19.

“Setahu saya bukan hanya orang bukan Islam yang tidak boleh menguruskannya malah orang Islam Melayu sendiri pun sama.

“Kebenaran hanya diberikan kepada petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab. Proses pengebumian juga dilakukan dengan pantas,” ujarnya.

Sebagai parti politik, tidak seharusnya kita memutarbelitkan keadaan sehingga boleh merosakkan kemakmuran negara demi kepentingan agenda politik dan peribadi.