Siaran Akhbar

Diharapkan Isu ‘Doktor Kontrak’ Ada Jalan Penyelesaian Terbaik

Jul 9, 2021

Petang semalam, Presiden Nasional GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai telah mengadakan perbincangan secara atas talian bersama wakil-wakil MMA Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) dengan menyentuh isu dan ketidak-pastian yang dihadapi oleh doktor-doktor kontrak.

Difahamkan bahawa, isu doktor kontrak ini terlalu parah dan memerlukan perhatian segera pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan. Walaupun kontrak mereka disambungkan sehingga akhir tahun depan, namun solusi tetap perlu disegerakan.

Dr. Dominic Lau juga berpendapat bahawa pentingnya doktor kontrak ditempatkan dalam kaedah yang tertentu, sewajar dan dengan hormatnya. Mereka juga perlu diberi ruang untuk menyambung belajar program siswazah di universiti-universiti tempatan, perhatian sewajar dalam permohonan Hadiah Latihan Persekutuan. Kita tidak boleh mengabaikan masa depan sistem kesihatan kita.

“Kita akan kehilangan satu generasi bakal-bakal pakar, konsultan, perunding dalam aspek perubatan dan pembedahan jika agensi-agensi terbabit terus mengabaikan penawaran program siswazah kepada doktor-doktor pelatih. Siapa yang akan susah? Rakyat, ujar Datuk Dr. Dominic Lau”

Juga disebabkan oleh ketidak-tentuan prospek perkembagan kerjaya perubatan, ramai yang belajar di luar negara dengan biasiswa kerajaan memilih untuk bayar penalti dan sambung bekerja di sana. Mereka berpendapat ketidak-tentuan kerjaya di sini menghalang mereka balik ke negara kita untuk berkhidmat.

Polisi penawaran dan pembelajaran program siswazah yang diamalkan sekarang juga memberi ruang kepada pengurangan pegawai pakar dalam pelbagai bidang. Maklum diketahui bahawa terdapat ketidakcukupan pakar di kawasan pendalaman. Masyarakat kawasan pendalaman terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan perkhidmatan pakar.

Berdasarkan data daripada Institut Penyelidikan Perubatan, Malaysia secara purata hanya mempunyai 3.9 pegawai pakar bagi 10,000 rakyat. Angka ini terlalu rendah kepada keperluan 14.3 pegawai pakar bagi 10,000 rakyat di negara-negara OECD pada tahun 2018.

Ramai yang bertanggapan bahawa kita tidak perlu jumah doktor perubatan yang banyak di Malaysia. Faktanya, pandemik COVID-19 telah mengajar kita bahawa pentingnya sebuah sistem kesihatan yang mempunyai pegawai dan peralatan kesihatan yang lebih dari secukupnya, kata Datuk Dr. Dominic.

Presiden Nasional GERAKAN juga berjanji akan membawa isu doktor-doktor pelatih ini kepada perhatian YAB Perdana Menteri. Beliau berharap kerajaan Perikatan Nasional akan mengutamakan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh doktor-doktor kontrak.

DATUK DR. DOMINIC LAU HOE CHAI
Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia