Slide SERTAI KAMI SUMBANGAN SERTAI KAMI SUMBANGAN

Berita Gerakan

Elak kluster kanak-kanak, Gerakan cadang kompaun ibu bapa bawa anak keluar

Mei 19, 2020

KUALA LUMPUR, 19 Mei ― Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan agar dikenakan kompaun terhadap ibu bapa yang membawa anak-anak keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presidennya berkata pihaknya kecewa dengan sikap segelintir ibu bapa yang tidak menghiraukan risiko ketika pandemik Covid-19 masih belum reda.

“Ibu bapa seharusnya sedar bahawa kanak-kanak adalah golongan yang sangat mudah dijangkiti.

“Oleh itu, tindakan membawa keluar kanak-kanak dalam situasi ini hanya akan mengundang pertambahan bilangan pesakit Covid-19 secara tidak langsung,” kata Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataan hari ini.

Katanya berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 12 tahun berjumlah 317 orang, 22 daripadanya adalah bayi bawah umur setahun.

Tambahnya bilangan itu boleh bertambah jika kawalan pencegahan tidak dilakukan dengan segera.

“Maka adalah lebih baik pihak kerajaan mempertimbangkan undang-undang untuk mengetatkan pertambahan kluster kanak-kanak. Contohnya dengan mengenakan notis peringatan dan kompaun terhadap ibu bapa yang ingkar”.

“Tindakan ini wajar dilaksanakan segera kerana ibu bapa serta anak-anak mereka membanjiri pusat membeli-belah sejak kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berharap kerajaan segera mempertimbangkan solusi yang berkesan untuk mengurangkan pertambahan kluster dalam kalangan kanak-kanak.