Berita Gerakan

Gerakan berang pemimpin main politik sedangkan rakyat tersepit

Jun 12, 2022

PETALING JAYA: Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyelar tindakan beberapa ahli politik yang masih bermain politik ketika rakyat tersepit dengan pelbagai masalah yang dihadapi.

Ia susulan beberapa ahli politik yang tidak mengambil serius untuk membantu seorang lelaki yang berdepan kecurian wang simpanan berjumlah RM7,000 seperti dilapor media sebelum ini.

Dominic Lau berkata, ahli politik atau wakil rakyat harus menyelesaikan masalah rakyat terutama soal kekayaan dan kesihatan rakyat, bukannya menggunakan isu itu untuk meraih populariti dan mendapatkan keuntungan peribadi modal politik.

“Saya rasa amat kesal dengan apa yang berlaku kepada lelaki ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sehubungan itu, Dominic Lau berkata, Gerakan amat prihatin dengan kes kecurian wang simpanan yang kerap berlaku di negara ini.

“Parti Gerakan sudah mengatur mesyuarat dengan pengurusan kanan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya dapat membincangkan tindakan untuk melindungi harta pelanggan dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap industri perbankkan.

“Sekarang kami menunggu BNM bagi kami masa untuk berjumpa,” jelasnya.

Tambah beliau, Gerakan juga akan menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan melalui Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Negara.

“Sesiapa yang menghadapi kes kecurian wang simpanan dan memerlukan bantuan boleh menghubungi biro di talian 03-92876868 (Mr. Chan) dan membuat laporan,” katanya. – UTUSAN