Slide SERTAI KAMI SUMBANGAN SERTAI KAMI SUMBANGAN

Berita Gerakan

Gerakan bermesyuarat bincang strategi PRU-15 berpandukan keputusan PRN Melaka

Nov 22, 2021

GEORGETOWN: Parti Gerakan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan strategi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berpandukan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelmarin.

Bagaimanapun menurut Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, buat masa ini parti itu akan kekal dan tetap bersama Perikatan Nasional (PN).

Ditanya mengenai keputusan PRN Melaka, beliau berkata, ia jelas menunjukkan rakyat mahukan kestabilan politik dan menolak pemimpin “katak” .

“Selain itu, rakyat juga berasa marah terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak mengutamakan kebajikan dan kehidupan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam PRN Melaka kelmarin, kesemua lima calon Gerakan yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) tewas di kerusi yang ditandingi masing-masing.

Mereka ialah  B. Dhanesh yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan: Michael Gan Peng Lam (Ayer Keroh): Clarice Chan Ming Wang (Banda Hilir); Fong Khai Ling (Kota Laksamana) dan Patrick Ng Chin Kae (Kesidang).

Sementara itu, Toh Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, dalam konteks politik di negeri itu, Gerakan tetap terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak yang mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Hal ini kerana Parti Gerakan senantiasa mementingkan hak dan kebajikan rakyat yang diperjuangkan sejak penubuhan parti ini lagi.

“Kami konsisten memperjuangkan hak, kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya ketika ditanya sama ada Gerakan bersedia bekerjasama dengan MCA menentang DAP di Pulau Pinang pada PRU-15.

Pada Jun 2018 iaitu selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14, Gerakan mengumumkan keluar daripada gagasan politik itu sebelum kemudiannya menyertai PN pada Februari lalu. -UTUSAN ONLINE