Berita Gerakan

Gerakan cadang kerajaan tumpu usaha peroleh vaksin tahun depan

Nov 4, 2020

KUALA LUMPUR – Tumpukan usaha untuk memperolehi vaksin Covid-19, itu antara cadangan  Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) terhadap Belanjawan 2021 yang boleh digunakan Kementerian Kewangan pada Jumaat ini.

Presidennya Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata ia selaras dengan kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebelum ini bahawa kerajaan perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM3 bilion bagi membolehkan rakyat mendapat akses vaksin secara percuma.

“Selain itu kerajaan dicadang memberikan peruntukan vaksin secara percuma kepada kumpulan B40 dan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan wanita,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Cadangan tersebut merupakan  antara yang dikemukakan oleh Gerakan untuk Belanjawan 2021 di dalam aspek kesihatan.

Selain aspek kesihatan parti itu, turut mengemukakan cadangan dari aspek pendidikan, kewangan, pengangguran dan keselamatan.

Beliau selain itu menyentuh tentang keperluan kerajaan memberi penghargaan terhadap barisan hadapan yang terlibat dengan usaha melawan Covid-19.

Penghargaan tersebut katanya harus diterjemahkan menerusi kenaikan pangkat dan tawaran lantikan jawatan tetap kepada doktor berstatus kontrak.

“Penghargaan tidak boleh kita cakap sahaja “terima kasih,” perlu juga dalam bentuk tawaran,” katanya lagi.

Kerajaan juga katanya perlu memberi bantuan kewangan bersasar kepada kumpulan B40 khas untuk kegunaan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Sedia maklum bahawa kesan pandemik Covid-19 telah mengancam kedudukan ekonomi orang ramai terutamanya yang berada dalam lingkungan bawah M40 dan B40. Isi rumah dalam kategori ini sememangnya memerlukan bantuan tambahan dalam menyediakan anak-anak mereka yang mula bersekolah tahun hadapan.

“Selain itu tingkatkan bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi,”katanya lagi.

Dari aspek kewangan pula, Dominic menyarankan agar pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap barang-barang asas dilaksanakan.

“Pengecualian cukai ini akan bantu golongan M40 dan B40 tingkatkan kuasa beli dan aliran tunai juga ditambahbaik. Ia juga perlu untuk aliran wang tunai dalam negara,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Dominic memaklumkan akan menyerahkan cadangan Belanjawan 2021 ini kepada Kementerian Kewangan dengan segera.