Berita Gerakan

Gerakan dakwa DAP kaki hasut orang bukan Melayu

Jun 10, 2021

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Mak Kah Keong menyifatkan DAP sudah kembali kepada perangai sebenar iaitu menjadi kaki hasut orang bukan Melayu yang memperbesar-besarkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang majoritinya dipimpin orang Melayu.

Beliau menganggap, DAP akan mempergunakan sekecil-kecil isu hingga ke sebesar-besar isu untuk diputar belit sebagai penganiayaan kerajaan Melayu kepada orang bukan Melayu.

“Terkini, DAP, menyalahkan MCA iaitu parti komponen kerajaan kerana gagal menjaga kepentingan kaum Cina apabila isu rumah pengurusan mayat tidak dibenarkan dibuka ketika pelaksanaan awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Parti anak beranak Lim ini sudah tidak ada modal dan hanya mencari publisiti murahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Bentong, Danny Ng yang menyalahkan Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker kerana gagal menyuarakan permasalahan kaum Cina.

Bagaimanapun Kah Keong berpandangan, DAP sudah kekurangan modal apabila sanggup memainkan isu pengurusan jenazah yang meninggal dunia disebabkan wabak Covid-19.

“Setahu saya bukan hanya orang bukan Islam yang tidak boleh menguruskannya malah orang Melayu Islam sendiri pun sama.

“Kebenaran hanya diberikan kepada petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab. Proses pengebumian juga dilakukan dengan pantas,” katanya.

Justeru, katanya, DAP tidak seharusnya memutar belitkan keadaan sehingga boleh merosakkan kemakmuran negara demi kepentingan agenda politik dan peribadi. – UTUSAN ONLINE