Berita Gerakan

Gerakan dalam misi raih undi bukan Melayu

Mac 13, 2021

Gerakan, yang kini menjadi komponen Perikatan Nasional, sedang dalam misi memenangi hati dan minda pengundi bukan Melayu, kata presidennya Dominic Lau.

Parti itu juga tidak melupakan Pulau Pinang, yang dianggap sebagai negeri terpenting dalam pilihan raya umum akan datang.

Gerakan menguasai negeri itu selama hampir empat dekad sebelum hilang kuasa pada pilihan raya umum 2008.

Dalam wawancara bersama dengan media China, Lau ketika disoal jawab, berkata dia akan menyerahkan rundingan kerusi kepada majlis presiden PN.

“Mesyuarat (majlis presiden) hanya akan berlangsung setelah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selesai kuarantin selepas kembali dari luar negeri,” katanya.

Oleh kerana keutamaan adalah untuk mendapatkan sokongan daripada kaum bukan Melayu, Lau berkata Gerakan tidak akan meminta untuk bertanding di kerusi tertentu.

“Kami bukan parti berdasarkan kaum.

“Kami membincangkan keperluan Malaysia, bukan keperluan kaum tertentu. Kami percaya bahawa pendekatan inklusif penting untuk mentadbir negara ini,” katanya.

Lau juga berkata terdapat negeri tertentu telah melantik wakil Gerakan sebagai naib pengerusi PH.

Ini, tambahnya, memungkinkan mereka untuk ikut serta dalam perbincangan dan perancangan untuk PRU akan datang, yang akan menjadi yang pertama bagi PN sejak ia menawan Putrajaya setelah berlaku rampasan kuasa politik tahun lalu.

Dengan keputusan terbaru Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU akan datang, Lau meramalkan Gerakan akan bertanding lebih banyak kerusi berbanding ketika ia menjadi sebahagian daripada BN.

“Parti-parti dalam PN (Bersatu, PAS, Star, SAPP dan Gerakan) harus bertanding di semua 222 kerusi parlimen sekiranya Umno mempertahankan pendiriannya.

“Tetapi daripada bertanding di 100 kerusi dan kalah semuanya, saya lebih suka mengenal pasti beberapa kerusi dan memberi tumpuan kepadanya.

“Ini untuk memastikan Gerakan dapat kembali ke parlimen untuk mewakili suara rakyat,” tambahnya.

‘Meningkat 100 peratus’

Berhubung sasaran Gerakan pada PRU akan datang, Lau berpendapat walaupun menang satu kerusi, ia merupakan peningkatan 100 peratus kepada parti itu memandangkan Gerakan tidak mempunyai wakil rakyat pada masa ini.

Pada PRU 2018, Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi.

Dalam perkembangan lain, presiden Gerakan itu juga mengulas mengenai Adun Buntong, A Sivasubramaniam yang keluar daripada parti itu untuk menyertai Bersatu.

Lau berkata perkara itu mungkin disebabkan rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi parti apabila Sivasubramaniam menyertai Gerakan tahun lalu setelah bersama DAP selama lebih dua dekad.

“Mungkin kita gagal menyelesaikan masalah dengan pantas. Tetapi dia harus beritahu apakah ini alasan dia memilih menyertai Bersatu. Kami menghormati keputusannya,” tambahnya.

Meskipun demikian, Lau berkata adalah tidak sihat bagi wakil rakyat untuk menukar parti walaupun dalam gabungan politik yang sama dan akan membangkitkan perkara itu semasa mesyuarat PH.

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

(双溪大年7日讯)由双溪大年齐灵坛斗母宫九皇大帝承办的“2024年第九届吉中九皇大帝巡境大游行”,15支来自各九皇大帝斗母宫及商家队伍参与,华丽的花车及庞大游行队吸引数以干计民众驻足围观,炮竹烟花伴随舞龙表演,庄严热闹。

baca lagi