Berita Gerakan

GERAKAN gesa kerajaan nasihatkan Dr. Mahathir

Jan 15, 2024

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menasihatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar tidak terus menanam perbezaan yang berkemungkinan memecahkan semangat Bangsa Malaysia yang dibina selama ini.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya berpendapat kenyataan-kenyataan dikeluarkan Dr. Mahathir yang juga seorang negarawan khususnya membabitkan kesetiaan kaum India menyinggung rakyat.

Katanya, Gerakan sebelum ini mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir untuk mengutarakan kekesalan berhubung kenyataan kontroversinya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai setelah beliau menyatakan parti politik pimpinan bukan Melayu sebagai parti pendatang.

“Gerakan berpendapat kenyataan-kenyataan sebegini daripada seorang yang dilihat sebagai negarawan adalah sangat menyinggung dan kerajaan perlu menasihatkan beliau untuk tidak terus menanam perbezaan yang berkemungkinan memecahkan semangat Bangsa Malaysia yang kita bina selama ini.

“Rakyat Malaysia perlu bersatu, menerima faktanya bahawa negara ini adalah sebuah negara yang dibina bersama atas landasan perpaduan, dan benih pemahaman dan silaturahim yang kita tanam hari ini, suatu hari nanti akan mekar sebagai kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan Dr Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka dalam satu temubual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India.

Dalam pada itu, Hoe Chai menambah, ahli politik perlu keluar daripada budaya politik cetek dan tiada guna mendabik dada sebagai sebuah negara yang pesat membangun, tetapi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat diserang barah.

Tegas beliau, rakyat Malaysia perlu bersatu dan menerima faktanya bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang dibina bersama atas landasan perpaduan dan benih pemahaman dan silaturahim yang kita tanam hari ini, suatu hari nanti akan mekar sebagai kemakmuran bersama.

“Malaysia adalah sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaumnya dan kepelbagaian tersebutlah menjadi tunjang keteguhan negara yang bertuah ini. Apa yang menyedihkan, bekas Perdana Menteri itu dalam temubualnya berkata telah pun compensated well masyarakat bukan Melayu ke atas sumbangan mereka. Bolehkah kita ‘memberi pampasan’ kepada rakyat kita sendiri?!,” katanya. – UTUSAN