Berita Gerakan

Gerakan gesa tindakan segera terhadap ‘polis jahat’ terlibat Geng Nicky

Apr 23, 2021

Gerakan menggesa polis mempercepat tindakan terhadap anggota yang didakwa bersubahat dengan “Geng Nicky”, kumpulan jenayah yang dikaitkan dengan pengasas Winner Dynasty Group Nicky Liow.

Ia selepas polis hanya membuat tangkapan pertama dua hari lalu, iaitu kira-kira tiga minggu selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan terdapat 34 anggota polis dan pegawai agensi penguatkuasa yang terlibat sebagai anggota “Geng Nicky”.

“Sudah tiba masanya tindakan segera juga diambil terhadap polis yang jahat. Ketua polis tak boleh benarkan timbul persepsi ada usaha menutup perkara ini,” kata Naib Presiden Gerakan Baljit Singh dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya lagi, Hamid sendiri sebelum ini berkata ada anggota polis yang dipercayai terlibat membantu Liow melepaskan diri daripada serbuan polis.

Setakat ini, seorang pegawai kanan polis berusia 40 tahun dan berpangkat Asisten Superintenden Polis (ASP), yang dikatakan mengetuai jabatan dalam salah satu ibu pejabat polis daerah (IPD) di Kuala Lumpur, telah ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (SOSMA) 2012.

“Saya menyambut baik penahanannya. Namun rakyat Malaysia tertunggu-tunggu tindakan yang lebih cepat daripada polis untuk membersihkan badan itu.

“Orang ramai sudah pun mempersoalkan respons polis yang seolah-olah lesu terhadap anggota mereka sendiri, walaupun ia melibatkan kes berprofil tinggi,” katanya lagi.

Baljit membangkitkan skandal Macau Scam, di mana anggota polis didakwa terlibat dalam membebaskan suspek menurutnya masih bertugas walau sedang disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

“Sudah lebih sebulan sejak polis mengumumkan yang mereka sedang melengkapkan siasatan. Tiada sebarang berita berkenaan tindakan lanjut (berhubung Geng Nicky).

“Memang membingungkan apabila polis yang disyaki masih dibenarkan memakai uniform tanpa sebarang tindakan lanjut, seperti penggantungan atau malah pemotongan gaji, sementara siasatan terhadap mereka dibuat.

“Polis tidak boleh terus mengatakan yang mereka membuat ‘siasatan dalaman’ setiap kali berita skandal seperti Macau Scam dan Geng Nicky dilaporkan,” katanya lagi.

Terdahulu, Liow dipercayai mendapat maklumat berkenaan operasi pada 20 Mac menerusi pegawai polis serta pegawai penguatkuasa.

Liow kini disiasat untuk sejumlah kesalahan jenayah, termasuk jenayah terancang, pengubahan wang haram, Macau Scam dan jenayah komersial.

Lelaki berusia 33 tahun itu turut dipercayai terlibat dengan seorang ketua kongsi gelap sindiket penyeludupan dadah antarabangsa, dikenali sebagai 14K, Wan Kuok Koi @ Broken Tooth Koi.