Siaran Akhbar

GERAKAN Harap Kerajaan Capai Penyelesaian Terbaik Mengenai Isu Doktor Kontrak

Jul 13, 2021

Parti Gerakan Rakyat Malaysia difahamkan bahawa isu doktor kontrak akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari esok.

Suatu pendekatan yang amat penting dalam mencari solusi kepada para doktor kontrak. Saya berharap dengan pendekatan ini, sebuah penyelesaian dapat dicapai dan dipercepatkan, agar lebih 20,000 doktor kontrak berasa lega dan mendapat apa yang sewajarnya milik mereka, kata Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN, Wong Chia Zhen.

GERAKAN berpendapat pentingnya kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan untuk memelihara kebajikan setiap anggotanya tanpa sebarang bentuk perbezaan yang boleh dianggap diskriminasi.

Aduan isu doktor kontrak ini bukan yang baru, ini isu yang bertahun-tahun lamanya, lebih lima tahun, namun penyelesaiannya tetap tidak dicapai.

Tambah Chia Zhen, kerajaan perlu meneliti bagaimana untuk menghapuskan jurang perbezaan di antara doktor tetap dan doktor kontrak, termasuk perbezaan gaji, pemberian Hadiah Latihan Persekutuan untuk menyambung pelajaran peringkat siswazah, peluang kerjaya yang jelas dan nyata dalam sektor awam termasuk kenaikan pangkat. Mereka memerlukan kesamarataan, bukan saguhati.

Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN juga menyeru kerajaan untuk mencari penyelesaian yang saksama seperti doktor tetap.

Beliau mengingatkan bahawa pentingnya kerajaan menjaga kebajikan para doktor, jururawat, pekerja-pekerja sektor kesihatan, kita perlukan sebuah institusi kesihatan yang cekap dan mantap dalam membekalkan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat kita.

“Jasa doktor dan para pekerja kesihatan dalam memerangi pandemik COVID-19 ini amat dihargai, dan GERAKAN akan sentiasa bersama menjaga kesaksamaan dan kebajikan para barisan hadapan”.

Diharapkan pembentangan hari esok dalam mesyuarat kabinet oleh Menteri Kesihatan akan memberi nafas baru kepada kesemua doktor kontrak KKM. Doktor jaga kita, kita jaga doktor, kata Wong Chia Zhen.

Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN
Wong Chia Zhen