Berita Gerakan

Gerakan janji serah pencalonan Baba Nyonya, Kristang dalam senarai UNESCO

Nov 18, 2021

MELAKA, 18 Nov — Parti Gerakan berjanji akan menyerahkan pencalonan rasmi warisan kebudayaan Baba Nyonya dan Kristang (Serani) untuk mendapatkan status Warisan Budaya Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sekiranya Perikatan Nasional diberi mandat mentadbir kerajaan negeri.

Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata kedua-dua budaya yang signifikan dengan negeri Melaka itu perlu dilindungi dan pencalonannya itu adalah cara sistematik dalam memastikan kelangsungan budaya dan tradisi berkenaan kekal dipelihara seterusnya memberi manfaat kepada sektor pelancongan Melaka.

“(Sekarang) sudah ada 584 perkara rasmi yang disenarai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (UNESCO) termasuk Kabuki di Jepun, Khon Tai di Thailand.

“Kita mempunyai cadangan ini kerana kita ada pengalaman semasa menjadi Ketua Menteri di Pulau Pinang, kita telah berjaya meletakkan Pulau Pinang sebagai (Tapak) Warisan Budaya UNESCO, kita akan gunakan pengalaman ini untuk membantu Melaka dan mendapatkan pencalonan rasmi status tapak Warisan Budaya Tidak Ketara itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahasa Kristang yang dituturkan keturunan Portugis Melaka telah disenaraikan sebagai bahasa yang hampir hilang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan kurang 2,000 orang di dunia boleh bertutur dalam bahasa tersebut.

Sementara itu, calon Gerakan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh Michael Gan Peng Lam berkata pihaknya akan menyediakan kemudahan pusat digital untuk belia di kawasan itu sekiranya diberi mandat, bertujuan melatih dan memberi pendedahan kepada golongan berkenaan kepada sektor keusahawanan dalam talian.

“Orang muda dapat bergiat dalam sektor ini…kerana ada yang tak ada kemudahan, jadi di sini kita galakkan pemuda dengan platform ini untuk mereka menaik taraf atau menambah baik keadaan (hidup) mereka,” katanya.

Selain itu, beliau bercadang untuk menjadikan Melaka Tengah sebagai pusat bebas cukai dengan menambah baik kemudahan seterusnya meningkatkan ekonomi negeri itu, sekiranya dilantik sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Selain Gan, seramai lima calon parti itu bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional iaitu B. Dhanesh di kerusi DUN Asahan; Clarice Chan Ming Wang (Bandar Hilir), Fong Khai Ling (Kota Laksamana) dan Patrick Ng Chin Kae (Kesidang).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov ekoran pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

— BERNAMA