Berita Gerakan

Gerakan kecewa Pakatan Harapan berdiam diri isu projek PSR

Jun 2, 2021

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong meluahkan rasa kecewa dan terkilan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang masih berdiam diri mengenai isu Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR).

Beliau menyifatkan, pandangan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sepatutnya dipandang serius oleh pemimpin-pemimpin PH terutamanya di Pulau Pinang.

“Jika Nuruh Izzah menolak projek PSR, bagaimana pula pendirian wakil rakyat yang lain dari PKR Pulau Pinang?” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, rakyat telah memberi sokongan penuh kepada PH sehingga kekal mentadbir Pulau Pinang selama tiga penggal berturut-turut.

“Namun, mandat yang diberikan rakyat pada masa itu nampaknya sia-sia sahaja, kerana wakil rakyat yang mereka pilih hanya mendiamkan diri dalam projek yang menggugat kepentingan rakyat, khususnya PSR,” katanya.

Tong Keong mendakwa, jika pemimpin PH terus mendiamkan diri, ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka bukan mengutamakan kepentingan rakyat, tetapi lebih mementingkan konsortium-konsortium yang terlibat dalam projek mega di Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerajaan PH Negeri Pulau Pinang telah mengabaikan suara hati rakyat, berdegil untuk melaksanakan projek mega yang akan merosakkan ekosistem persekitaran secara kekal.

Menurutnya, isu PSR sering dibangkitkan, namun sehingga kini pemimpin PH terutamanya PKR langsung tidak menjelaskan pendirian atau pandangan mereka berhubung projek mega berkenaan.

“Adakah mereka mempertahankan hak rakyat atau melindungi kepentingan pemaju?

“Saya ingin memberi tepukan kepada Nurul Izzah yang berani tampil ke hadapan menyatakan pendirian terhadap projek-projek PH Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri tidak terus bersikap ego dan keras kepala dalam isu ini, kerana tahap kemusnahan dari projek-projek itu terhadap alam sekitar tidak dapat ditanggung oleh PH.

“Lebih-lebih lagi, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) telah jelas menyatakan bahawa projek PSR boleh mengakibatkan kemusnahan kekal kepada ekosistem laut.

“Kerajaan PH Pulau Pinang, jangan anda memandang ringan pendapat rakyat dan menganggap sokongan rakyat terhadap anda adalah satu kewajipan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap rakyat Pulau Pinang turut bersama-sama untuk tidak berkompromi dalam isu ini.

“Biar kita mengenali sikap sebenar DAP yang angkuh, bukan sahaja mengabaikan kewujudan parti komponen PH yang lain, tetapi juga tidak menghormati pandangan dan pendirian yang dibuat melalui petisyen bersama antara badan bukan kerajaan (NGO) dan 110,000 penduduk Pulau Pinang,” katanya.

Tong Keong menegaskan, Gerakan tetap bersama dengan NGO dan rakyat untuk mempertahankan kualiti hidup rakyat, khususnya semasa negara dilanda pandemik Covid-19.

“Kami tidak faham mengapa kerajaan PH Pulau Pinang terdesak untuk melaksanakan projek mega yang mampu memusnahkan alam sekitar itu?” katanya. – UTUSAN

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

(双溪大年7日讯)由双溪大年齐灵坛斗母宫九皇大帝承办的“2024年第九届吉中九皇大帝巡境大游行”,15支来自各九皇大帝斗母宫及商家队伍参与,华丽的花车及庞大游行队吸引数以干计民众驻足围观,炮竹烟花伴随舞龙表演,庄严热闹。

baca lagi