Berita Gerakan

Gerakan komited dan fokus bantu kejayaan PN

Mac 5, 2021

KUALA LUMPUR, 5 Mac — Parti Gerakan komited dan fokus untuk bekerja membantu kejayaan Perikatan Nasional (PN) kerana gagasan itu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya mentadbir kerajaan dan negara dengan baik, khususnya menstabilkan politik serta membanteras COVID-19 demi menjaga keselamatan rakyat.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, jentera parti itu akan menyalurkan mesej tersebut kepada akar umbi khususnya masyarakat Cina.

“Gerakan juga akan memberi cadangan dan input-input yang baik kepada kerajaan supaya menetapkan polisi yang lebih baik dan menyeluruh supaya memberi manfaat kepada rakyat pada masa depan serta memandu kejayaan PN ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada Wacana.my, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan UMNO yang tidak akan bekerjasama dengan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Satu lagi ketetapan UMNO ialah kebersamaan parti itu dalam PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Oh berkata, negara ini mengamalkan sistem demokrasi dan sungguhpun tindakan UMNO akan memberi implikasi terhadap landskap politik negara namun Gerakan tetap menghormati keputusan kepemimpinan parti itu.

“Yang penting, kita berjuang demi kebajikan dan kepentingan rakyat serta  memastikan negara kita membangun dan mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau mengulangi, keputusan UMNO itu sudah tentu akan memberi impak kepada BERSATU dan PN namun  Gerakan yakin kejayaan yang dicapai PN setelah setahun mentadbir negara dengan berpegang kepada prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, sudah pasti PN berkebolehan mengharungi dan mendepani cabaran pada masa yang akan datang.

Oh menegaskan PN tetap PN dan sungguhpun dulu bekerjasama dengan UMNO namun rangka struktur PN tetap sama dan hari ini bertambah kuat dengan penyertaan Gerakan sebagai satu daripada parti komponennya.

“PN mempunyai identiti dan kemampuan tersendiri. Dengan memperkasakan lagi jentera PN yang sedia ada, kini sudah pasti PN akan berkhidmat lebih baik tanpa dibebani liabiliti UMNO,” katanya.

Menurutnya, memperkasakan jentera diri sendiri adalah penting untuk berdepan dengan segala cabaran yang bakal hadapi pada masa depan.