Berita Gerakan

GERAKAN lancar petisyen desak henti polemik perebutan kuasa

Okt 21, 2020

KUALA LUMPUR: GERAKAN melancarkan petisyen bagi mendesak polemik perebutan kuasa dalam kalangan Ahli Parlimen dihentikan segera, sejajar dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Petisyen bertema ‘Menjunjung Titah Tuanku, Henti Krisis Politik, Satu Hati Lawan COVID-19’ itu sudah ditandatangani hampir 600 individu, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong, berkata petisyen itu antara lain meminta supaya kerajaan sedia ada diberi peluang secukupnya untuk membendung pandemik COVID-19.

Beliau yang juga Pengerusi GERAKAN Kuala Lumpur berkata, petisyen dilancarkan sejak Ahad lalu itu menggariskan empat perkara utama berkaitan kerajaan sedia ada.

“Petisyen ini mendesak supaya dihentikan perebutan kuasa yang memporak-perandakan kerajaan, selain memohon kerajaan memfokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Ia juga memohon supaya kerajaan menjaga kebajikan rakyat dan memulihkan ekonomi negara, serta rakyat perlu bersatu bersama pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita berharap petisyen ini akan ditandatangani 500,000 individu sebelum 2 November depan. Ia akan diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Perdana Menteri nanti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sambil menegaskan semua pihak harus akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Kah Keong berkata, sekarang juga bukan masanya untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang memberi impak sangat teruk kepada negara,” katanya.