Berita Gerakan

GERAKAN masih sokong Muhyiddin terajui PN

Mac 19, 2022

KUALA LUMPUR: GERAKAN tetap menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan parti itu tidak menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lou Hoe Chai, berkata parti itu tidak berputus asa dan akan terus bersama PN bagi membela nasib rakyat dalam PRN atau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Walaupun tidak menang besar untuk PRN Johor, (iaitu) hanya tiga kerusi, kita faham dan kita tak akan putus asa. Kita akan terus perjuangkan ideologi parti untuk menghadapi PRU-15.

“Kekalahan ini bukan sebab kepimpinan seseorang saja. GERAKAN masih bersama PN. Kami akan terus memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu, hari ini.

Dominic berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin pada 12 Mac lalu bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu bertanggungjawab atas kekalahan gabungan itu dalam PRN Johor dan sedia melepaskan jawatan jika itu yang dimahukan pimpinan parti gabungan itu.

PN hanya memenangi tiga kerusi daripada 56 dipertandingkan pada PRN Johor lalu iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

Sementara itu, Dominic berkata, GERAKAN akan memastikan senarai penyelaras dan calon yang akan bertanding pada PRN dan PRU-15 kelak, dikeluarkan lebih awal bagi memudahkan jentera parti digerakkan.

“Kita akui memang pada PRN Johor, ada kerusi yang kita bertanding, tetapi tiada persiapan dibuat untuk DUN yang kita bertanding.

“Oleh itu, mulai sekarang kita akan senaraikan semua kerusi yang (kita) bertanding dan penyelaras terbabit untuk persiapan PRU-15 dan PRN akan datang. Jadi kita harap jentera kita akan buat persiapan awal,” katanya.

Beliau berkata, PRU-15 boleh diadakan hanya apabila kes COVID-19 menurun dan dalam keadaan terkawal, bagi membolehkan peratusan keluar mengundi berada pada tahap memuaskan iaitu 70 hingga 80 peratus. – BERNAMA

禁在野党议员进校有失公允  黄佳祯:学校是公共场所

禁在野党议员进校有失公允 黄佳祯:学校是公共场所

(雙溪大年18日訊)吉打州行政議員黃佳禎說,由於團結政府禁止在野黨議員進校園,造成吉打州議員要給州內的華淡小撥款及援助時都要偷偷在校外進行,校方也不敢把所拍的照片上載至社交媒體,情況猶如在野的人民代議士與校方在偷情。

baca lagi