Siaran Akhbar

GERAKAN Mengingatkan Agar Republik Rakyat China Menghormati Kedaulatan Malaysia

Jun 2, 2021

 

Parti Gerakan Rakyat Malaysia berharap Republik Rakyat China menghormati kedaulatan ruang udara Malaysia dan diingatkan untuk tidak mencabar keselamatan negara ‘rakan’ mereka.

Setiausaha Agung Parti GERAKAN, Mak Kah Keong berkata, kejadian 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan menghampiri ruang udara nasional tidak harus berlaku. Ia seolah-olah tidak menghormati kedaulatan Malaysia.

“Kalau 1 pesawat salah arah masuk kita boleh terima, walaupun secara praktikalnya tidak boleh, tetapi 16 pesawat menceroboh ruang udara kita itu adalah keterlaluan dan boleh meruntuhkan kepercayaan persahabatan di antara Malaysia dan China”, katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau menegaskan bahawa hubungan diplomatik antara dua negara yang berdaulat, kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, tiada siapa yang menjadi “taikor”. Tambah beliau, Malaysia tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata, pada 31hb Mei yang lalu kita baru meraikan Ulang Tahun ke-47 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dan tindakan pencerobohan pesawat ke dalam ruang udara kita ini sangat tidak betul, tidak meyakinkan persahabatan yang sedang kita usahakan. Kita kena hormat negara jiran, negara serantau, kita kena bina kepercayaan.

Beliau juga berpendapat, penjelasan jurucakap Kedutaan Besar China di Malaysia yang mendakwa tindakan 16 buah pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada Isnin lalu sebagai latihan penerbangan biasa adalah tidak dapat diterima.

“Sebelum mengenal pasti taraf Pulau Buatan Spratly di Mahkamah Antarabangsa, saya menyeru Kerajaan China jangan tergesa-gesa melakukan kesilapan diplomatik dan mengancam hubungan baik dengan negara-negara ‘kawan’.”

Mak juga mengucapkan terima kasih dan menyokong penuh ketegasan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam mempertahankan kedaulatan negara.