Siaran Akhbar

GERAKAN sedia hebahkan program bantuan kerajaan kepada rakyat

Mac 27, 2021


Parti GERAKAN akan membantu kerajaan untuk menjelaskan setiap program bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan kepada rakyat untuk memastikan 6 fokus utama Kementerian Kewangan pada tahun 2021 dapat dilaksanakan dengan lancar, sehingga ekonomi negara dapat dipulihkan dan membawa pembangunan serta kemakmuran.

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, walaupun kerajaan Perikatan Nasional telah melancarkan 6 pakej bantuan kewangan untuk membantu rakyat dan menstabilkan ekonomi negara, tetapi penerangan dan penyampaian bantuan dan inisiatif kerajaan perlu diperkuatkan lagi agar ianya sampai kepada rakyat secara keseluruhan. Oleh itu, Parti GERAKAN akan memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan, dan memastikan tidak ada sesiapa yang terlepas pandang dalam penyaluran bantuan kerajaan.

“Setakat ini, kerajaan telah melancarkan pakej bantuan bernilai RM320 bilion untuk membantu rakyat, perniagaan dan industri yang terjejas akibat Covid-19. Ini termasuk yang terkini Bantuan Prihatin Rakyat, i-Sinar melalui KWSP, moratorium bayaran balik pinjaman yang bersasar melalui bank, dan pendekatan-pendekatan yang diambil dalam menjana semula ekonomi negara. Elaun khas dan pinjaman mikro juga diberikan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memulihkan perniagaan mereka.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan di atas kesudian menerima kunjungan pemimpin Parti GERAKAN semalam.

“Saya bersama beberapa pemimpin Parti GERAKAN, termasuk Bendahari Nasional Hng Chee Wey dan Timbalan Setiausaha Agung S Wendy Subramaniam telah mengadakan kunjungan rasmi dengan YB Menteri Kewangan dan saya mengambil kesempatan untuk berkongsi pandangan tentang isu yang berkaitan dengan ekonomi, peluang pekerjaan, bantuan kepada SME dan sebagainya, terutamanya 6 fokus utama Kementerian Kewangan untuk tahun ini.”

Beliau berkata, Menteri Kewangan juga menyatakan komitmen dan keprihatinan beliau dalam menyelesaikan segala isu secara “bersasar” dalam memulihkan ekonomi supaya kebajikan setiap rakyat dapat dilindungi.