Berita Gerakan

Gerakan sokong RUU Lompat Parti dibentang di Parlimen

Sep 16, 2021

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyokong cadangan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti di Dewan Rakyat.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berpendapat, sudah menjadi keperluan untuk akta itu diwujudkan bagi mengelak aktiviti lompat parti berterusan membabitkan ahli Parlimen.

Katanya, akta itu penting kerana ia mampu mewujudkan keharmonian serta mengembalikan kesejahteraan rakyat di negara ini.

“Apa sahaja RUU yang membawa kebaikan kepada negara ini, kita akan sokong dan jika RUU tersebut boleh membantu negara terutamanya dalam mewujudkan kestabilan tidak salah kalau kita menyokongnya.

“Sekarang ini negara dalam tempoh pemulihan daripada ancaman Covid-19 selain daripada kita nak memastikan rakyat kembali kepada kehidupan normal dan juga penting untuk memulihkan semula ekonomi negara ini,” katanya ketika ditemui semasa lawatan menyantuni seorang bekas tentera sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

Dominic berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai cadangan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said semalam yang mencadangkan agar RUU tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat bagi menghentikan sikap lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.

Menurut Azalina, senario yang membabitkan lompat parti itu bukan sahaja tidak adil kepada rakyat tetapi kepada parti yang mereka wakili sebelum ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat turut berharap agar Parlimen memberi laluan ‘fast track’ terhadap RUU yang diusulkan beliau sebelum ini.

Dalam pada itu, Dominic berkata, negara ini sememangnya bergantung harap kepada pelaburan besar dari negara asing.

Oleh sebab itu katanya, kestabilan terutama dalam politik adalah sangat penting bagi mewujudkan keyakinan kepada pelabur.

“Ingin saya ulangi, jika RUU itu boleh membawa kepada kestabilan politik, kami di parti Gerakan sangat setuju dan menyokong demi pemulihan negara ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette