Berita Gerakan

Gerakan tampil lebih ramai wanita jadi calon pada PRU15 – Timbalan Presiden

Mac 13, 2021

KUALA LUMPUR, 12 Mac  — Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan menampilkan lebih ramai calon dalam kalangan wanita untuk mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Timbalan Presidennya Oh Tong Keong berkata ini kerana wanita di negara ini telah membuktikan kebolehan mereka dalam memegang jawatan penting di dalam kerajaan serta swasta dan parti percaya bahawa ahli wanita Gerakan mempunyai kebolehan dan potensi yang sama untuk ditonjolkan.

“Parti kita sudah pasti akan menghantar lebih ramai anggota wanita mengambil bahagian dalam PRU akan datang. Para saudari sekalian, saya percaya bahawa anda semua boleh melakukannya dengan baik. Selagi kita mempunyai keyakinan, kita pasti akan mencapai matlamat yang kita impikan.

“Kita yakin bahawa pada suatu hari nanti, pemimpin wanita kita juga berkemampuan menjadi presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita Nasional Parti Gerakan ke-33 di sini malam ini.

Beliau turut bersetuju, menyokong dan menerima baik saranan Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (Comwel) Isnin lepas yang mengusulkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menimbangkan 30 peratus kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk calon wanita pada PRU15.

Sementara itu, berucap ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Nasional Parti Gerakan ke-33 yang diadakan berasingan malam ini, Oh berkata Gerakan yang kini menjadi sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) akan memainkan peranannya menyuarakan isu rakyat dengan lebih berkesan.

“Pendirian parti kita tetap sama, sekiranya kerajaan melaksanakan dasar yang tidak memanfaatkan rakyat atau menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat, kita tetap akan memainkan peranan membangkitkan isu dan persoalan yang diketengahkan rakyat. Kita akan tetap bersama dengan rakyat. Ini adalah janji kita kepada rakyat buat selama-lamanya,” katanya.

Parti Gerakan diterima menganggotai gabungan PN secara rasmi pada 11 Feb lepas, setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PN.

Dalam pada itu, Oh berharap kedua-dua sayap berkenaan menjalin kerjasama yang baik dengan komponen parti yang lain bagi kesiapsiagaan PN menghadapi PRU akan datang.

Kedua-dua persidangan berkenaan dilaksanakan sepenuhnya secara maya manakala esok, Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-49 akan dirasmikan Perdana Menteri yang juga Pengerusi  PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Persidangan berlangsung secara hibrid, yakni dengan kehadiran fizikal di Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik, Menara PGRM, serta secara maya.