Berita Gerakan

GERAKAN teliti 50 nama bakal calon PRN di 6 negeri

Mac 4, 2023

GEORGETOWN: GERAKAN sedang meneliti senarai 50 nama yang dikemukakan pengerusi parti itu di enam negeri untuk diangkat sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau, berkata semua bakal calon berkenaan perlu melalui tapisan dan penilaian teliti bagi memastikan mereka yang terpilih benar-benar layak dan mampu memberi kemenangan.

Beliau berkata, nama mereka yang terpilih kemudian akan diserahkan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk dimuktamadkan.

“GERAKAN mempunyai jawatankuasa penilaian calon untuk PRN yang berperanan bagi membuat tapisan, seterusnya memberikan latihan progresif kepada mereka (bakal calon) sebagai persediaan menghadapi PRN nanti,” katanya di sini, hari ini.

Pada 19 Februari lalu, Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN meminta semua pengerusi GERAKAN di enam negeri terbabit untuk menyerahkan senarai calon kepada parti selewat-lewatnya 28 Februari untuk tapisan dan penilaian.

Mengenai rundingan agihan kerusi dalam PN, Dominic yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PN Pulau Pinang berkata, ia masih dalam perbincangan.

— BERNAMA