Siaran Akhbar

Guna kaedah lebih tegas untuk PKP

Apr 15, 2020

Tempoh PKP telah memasuki fasa ketiga, namun jumlah kes Covid-19 tetap meningkat setiap hari. Tiada tanda-tanda yang menunjukkan rangkaian itu akan terputus dalam tempoh yang diperuntukkan. Sebaliknya semakin ramai masyarakat di luar sana masih berdegil dengan arahan untuk duduk di rumah.

Kegagalan mematuhi PKP perlu ditolak sepenuhnya. PKP perlu dipraktikkan dengan berkesan demi memutuskan rantaian Covid-19. Rakyat perlu memberi kerjasama untuk merealisasikannya jika tidak mahu tempoh PKP terus dilanjutkan

Saya faham ada yang terpaksa keluar dari rumah untuk membeli barangan dapur dan sebagainya, malangnya ada yang keluar hanya semata-mata kerana bosan duduk rumah. Sikap seperti inilah yang patut diabaikan dalam memastikan sebarang kemungkinan penularan pandemik yang boleh mengancam nyawa manusia ini.

Sebagai langkah tambahan, kitaran perjalanan yang jauh juga perlu dihadkan kepada individu biarpun mempunyai surat kebenaran/pengecualian. Ini demi memastikan proses PKP dilaksanakan dengan lebih berkesan dalam tempoh fasa ini.

Jika trend pesalah ingkar PKP terus meningkat dan menyebabkan tempoh PKP perlu dilanjutkan selepas 28 April, Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengesyorkan supaya perlaksanaan kawalan PKPD dikuatkuasakan di semua zon yang mempunyai peningkatan kes secara mendadak (unusual increase). Malah jika ianya tetap tidak berkesan, kerajaan perlu pertimbangkan perintah darurat.