Siaran Akhbar

Hapus tol secara berperingkat

Jan 17, 2020

Berdasarkan beberapa pertimbangan dan bidaan syarikat swasta, akhirnya kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan pemilikan konsensi tol pada Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja semalam.

Keputusan itu turut diselaraskan dengan penurunan kadar tol sehingga 18% dan lanjutan perjanjian konsesi sehingga tahun 2058 serta akan mula berkuatkuasa pada tahun ini. Lantaran itu, ianya turut memberi gambaran bahawa impian untuk hapus tol adalah sesuatu yang mustahil dan akan kekal jadi mimpi semata-mata.

Oleh itu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia tetap menggesa supaya kerajaan laksana janji untuk hapus tol secara berperingkat sehingga tamat perjanjian konsesi serta tol percuma pada semua bagi membolehkan rakyat peroleh manfaat yang lebih selesa di masa akan datang. Ianya demi mengimbangi pembangunan ekonomi yang setara di masa kini.

Biarpun ianya dilihat sebagai keputusan yang sukar bagi pihak kerajaan, ianya perlu dilaksana demi mengurangkan kadar rakyat miskin bandar dalam negara. Ramai masyarakat kini mula terkesan dengan pelbagai kenaikan harga barang, SST dan sebagainya. Maka tidak salah kiranya rakyat terus mengharapkan kerajaan pertimbang semula janji untuk hapus tol dalam tempoh terdekat memandangkan semakin ramai rakyat dalam negara terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat naik.

Maka dengan itu, kerajaan perlu praktis terhadap janji yang ditabur ketika pru lalu untuk hapus tol. Parti Gerakan Rakyat Malaysia sangat berharap kerajaan baru segera tunai janji kerana tidak mahu rakyat terus rasa derita dan terbeban dengan keadaan sekeliling.