Garis Asas Pegangan Politik Parti GERAKAN

Parti GERAKAN sejak penubuhannya pada tahun adalah 1968 komited terhadap pendekatan bukan perkauman sebagai asas perjuangan politik dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan. Parti GERAKAN tidak pernah dan tidak akan berganjak dalam perjuangan kita melalui pendekatan bukan perkauman untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu padu, sekular dan adil secara sosial, walaupun bentuk dan kaedah perjuangan boleh berpelbagaian mengikut keadaan yang sering berubah, inilah pegangan utama kepada parti kita dan ia tetap merupakan garis asas pegangan kita pada hari ini dan masa kelak. Konsistensi dan keteguhan dalam komitmen terhadap pendekatan bukan perkauman oleh Parti GERAKAN adalah berdasarkan kepada kesedaran politik rakyat Malaysia dan inginkan citarasa perwakilan politik mereka sebagai rakyat Malaysia.

Pendirian Ideologi Parti GERAKAN Dalam Pelbagai Isu

Kestabilan Politik

i) Parti GERAKAN komited terhadap pembinaan satu persekitaran politik yang stabil di Malaysia. Kestabilan begini hanya boleh wujud melalui komitmen berterusan sistem Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen semasa. Rakyat Malaysia perlu memperbaharui ikrar komitmen kepada sistem ini dan menolak sebarang usaha untuk menggantikannya. Sama pentingnya adalah rundingan sebagai cara mengatasi konflik dan perbezaan harus diteruskan dalam budaya politik kita di samping konfrontasi haruslah dielakkan.

Hak Asasi Manusia

ii) Komitmen terhadap Demokrasi Berparlimen bukan saja memerlukan usaha-usaha penyuburan, ia juga memerlukan pengukuhan seterusnya.

Parti GERAKAN menyedari bahawa dengan peredaran masa, tuntutan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban serta fokus yang lebih luas di atas hak asasi manusia akan terus dibuat.

Hal ini sudah tentu tidak dapat dielakkan dan ditahankan oleh sesiapapun. Sekiranya ia dinilai secara objektif, ia hanya merupakan tuntutan dan tidak lebih dari itu.

Apa yang lebih penting, Parti GERAKAN komited terhadap GERAKAN untuk menjadikan Kerajaan ini lebih terbuka, telus dan bertanggungjawab.

Kita juga turut komited dalam melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia dan kebebasan asas sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan, Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu (Bab X, Artikel 62) dan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948.

Kita sedia maklum bahawa hampir semua hak asasi manusia adalah sejagat, tidak dapat dibahagi-bahagikan, saling bergantungan dan saling berhubungan. Kita juga berkongsi pendapat bahawa hak terhadap pembangunan sepertimana yang terkandung dalam Deklarasi Vienna dan Program Tindakan Hak Asasi Manusia yang diterima pada Jun 1993 adalah sejagat dan hak sebati serta merupakan sebahagian dari hak asasi manusia.

Parti GERAKAN percaya bahawa hak ekonomi, sosial dan kebudayaan serta kebebasan seperti hak pekerjaan dan perlindungan serta kebebasan daripada kebuluran dan buta huruf adalah sama penting seperti hak politik dan awam.

Sepertimana kita percaya terhadap saling kebergantungan dalam kebanyakan hak asasi manusia, kita juga menegakkan prinsip hak awam, politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan yang saling bergantung dan tidak boleh diasingkan.

Promosi hak asasi manusia tidak boleh dihadkan kepada hak politik dan awam saja tetapi perlu dilaksanakan dalam satu pendekatan yang seimbang merangkumi hak ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Bagi kita, hak asasi manusia dan kebebasan asas adalah tidak bermakna sekiranya Malaysia dihancurkan oleh ketidakstabilan dan pergolakan sosial, politik dan ekonomi.

Sementara menyedari piawai kesejagatan hak asasi manusia sepertimana yang digambarkan dalam pelbagai deklarasi antarabangsa, Parti GERAKAN percaya bahawa aplikasi dan pelaksanaan piawai ini perlu mengambil kira norma-norma khusus sejarah, kebudayaan dan keagamaan serta tahap pembangunan ekonomi Malaysia.

Parti GERAKAN juga percaya bahawa tanggungjawab promosi dan perlindungan hak asasi manusia di Malaysia adalah di tangan Malaysia sendiri.

Kerjasama antarabangsa mungkin perlu dalam membantu Malaysia membangunkan kapasitinya bagi menikmati hak asasi manusia secara maksimum.

Pada masa yang sama, Parti GERAKAN tidak setuju kuasa-kuasa besar asing menggunakan isu hak asasi manusia sebagai satu alasan untuk bercampur tangan dalam hal ehwal dalaman negara ataupun sebagai satu syarat untuk menerima bantuan pembangunan daripada kuasa-kuasa besar ini.

Kebebasan Mencapai Potensi

iii) Demi memastikan produktiviti meningkat dan menambahkan daya persaingan ekonomi, kita percaya satu suasana persekitaran perlu diwujudkan untuk menggalakkan hak demokratik rakyat Malaysia untuk membangun dan merealisasikan potensi mereka ke tahap sepenuhnya.

Selaras dengan ini, kita percaya dalam liberalisasi berterusan, demokrasi dan penswastaan pendidikan, khususnya di peringkat pengajian tinggi namun usaha kerajaan dalam bidang ini tidak patut dipandang remeh.

Kepercayaan Dalam Pasaran Bebas Tetapi Dengan Perlindungan Kerajaan Terhadap Golongan Miskin

iv) Parti GERAKAN berpendapat bahawa mekanisme pasaran masih merupakan kaedah peruntukan sumber yang paling cekap, khususnya pasaran harus dijadikan daya penggerak utama dalam penjanaan kekayaan negara.

Walau bagaimanapun, pasaran juga boleh menghadapi kegagalan. Campur tangan kerajaan bagi membetulkan kegagalan pasaran adalah sangat penting dalam hal ini. Bagi Parti GERAKAN, alasan bahawa pasaran adalah lebih cekap dan patut digunakan dengan pengecualian sepenuhnya peranan kerajaan atau sebaliknya adalah melampau dan tidak rasional. Pasaran dan kerajaan memainkan peranan saling melengkapi dan memperkukuhkan di antara satu sama lain.

Tumpuan haruslah diberikan kepada perkembangan pasaran yang mesra rakyat di mana pasaran berkhidmat kepada rakyat dan bukan sebaliknya.

Masyarakat Yang Adil Dan Saksama

v) Usaha bertujuan mewujudkan satu masyarakat yang adil dan saksama perlu terus dijalankan sebagai satu ciri unggul dasar kerajaan. Ini adalah untuk memastikan sebahagian besar hasil pembangunan tidak hanya dinikmati oleh kumpulan minoriti, tetapi kumpulan majoriti rakyat yang hidup dalam kekurangan dan kemiskinan.

Satu rangka dasar kerajaan yang penyayang dan mesra bukan sahaja terhadap mereka yang kurang upaya secara fizikal tetapi juga terhadap golongan yang serba kekurangan dari segi ekonomi. Langkah begini patut didorong oleh keperluan ekonomi pada setiap masa dan bukan perkauman. Objektifnya adalah untuk memastikan akses yang samarata atas peluang yang dijana oleh pasaran.

Perlindungan Alam Sekitar

vi) Dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan dan sektor swasta mestilah munasabah dari segi alam sekitar. Parti GERAKAN menyokong usaha pembangunan yang lestari. Pola penggunaan dan pengeluaran sumber semasa yang tidak lestari mesti dihentikan dan sebaliknya digantikan oleh sistem-sistem yang rasional dan boleh diperbaharui.

Usaha-usaha kerajaan mungkin tidak mencukupi dan perlu dilengkapi serta ditambah baik oleh usaha-usaha individu dan antarabangsa.

Yang keduanya merangkumi pertambahan peruntukan sumber kewangan daripada negara-negara maju terhadap pengurusan alam sekitar global dan pemindahan teknologi yang mesra alam dari negara-negara maju untuk membantu Malaysia memelihara keindahan semula jadi tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Peranan Wanita

vii) Bagi status dan peranan wanita, Parti GERAKAN akan mengambil langkah- langkah yang sesuai untuk memastikan perkembangan sepenuhnya dan kemajuan semua wanita Malaysia dengan menjanjikan hak asasi manusia dan kebebasan asas atas prinsip kesamaan dengan kaum lelaki. Langkah-langkah ini termasuklah:

a) Menyingkirkan halangan-halangan kesaksamaan dalam penglibatan dan membuat keputusan serta memajukan status politik mereka;

b) Memajukan taraf pencapaian wanita Malaysia dalam pendidikan, pekerjaan dan kesihatan dengan tumpuan khas terhadap masalah yang dihadapi oleh wanita yang hidup dalam kemiskinan tegar, wanita di luar bandar dan wanita dalam sektor ekonomi yang tidak formal;

c) Melaksanakan lebih banyak perundangan bagi memastikan kesaksamaan taraf jantina dan penguatkuasaan yang berkesan; dan

d) Memerangi stereotaip jantina pada peringkat nasional yang merupakan antara halangan yang masih kuat bagi menghapuskan diskriminasi yang menjadi sebab utama dalam merendahkan potensi serta peranan wanita dalam masyarakat Malaysia.

Integrasi Kebudayaan

viii) Dalam bidang kebudayaan, Parti GERAKAN menyokong pendirian awal sepertimana yang diterangkan dalam Memorandum Kebudayaan bahawa nilai-nilai dan kepercayaan-kepercayaan adalah lebih penting dalam aspek kebudayaan berbanding dengan bentuk. Walau bagaimanapun, bentuk kebudayaan tidak boleh dipinggirkan sebagai suatu yang tidak penting.

Isi kandungan dinyatakan dalam bentuk tetapi dalam amalan sebenar nilai-nilai adalah dipraktikkan dan menjadi lebih bermakna. Kita percaya pendekatan paling baik terhadap isu kebudayaan Malaysia adalah mengenal pasti nilai- nilai umum dan sama yang dapat dikongsikan dengan budaya-budaya lain, tetapi pada masa yang sama, kita membenarkan bentuk kebudayaan yang berbeza.

Isi kandungan boleh berunsurkan tempatan sementara corak kebudayaan dipelbagaikan. Bagi kita di Parti GERAKAN, kepelbagaian kebudayaan dalam komuniti merupakan satu sumber yang membekalkan aset negara yang kaya dan patut dipelihara dan dilindungi.

Oleh yang demikian, satu prinsip panduan terhadap pembangunan kebudayaan adalah mengambil kecenderungan liberalisme dan bersikap minda terbuka terhadap pola-pola kebudayaan dan pembangunan. Prinsip-prinsip panduan lain seperti kebebasan, kesamaan, keadilan, demokrasi, perpaduan dan sains boleh dimasukkan untuk pemkembangan kebudayaan.

Menghapuskan Wang Politik

ix) Satu kebimbangan yang wujud berikutan proses pemodenan dan perusahaan adalah memperdagangkan atau mengkomersialkan politik dan mempolitikkan perdagangan dan perusahaan. Perhubungan di antara perniagaan dengan politik selalunya membawa kepada perkembangan kronisme, penyelewengan pelaksanaan dasar, rasuah dan menggagalkan sesuatu usaha keusahawanan yang baik.

Ini merupakan penyakit sosial yang serius dan sekiranya dibiarkan bertunas dan bertumbuh, boleh mengancam dan meruntuhkan struktur sosial masyarakat. Adalah wajar mengasingkan kedua-dua ini untuk mengelakkan masalah. Perdagangan dan perusahaan negara kita tidak patut dipolitikkan dan oleh itu politik juga sepatutnya tidak diperdagangkan.