Berita Gerakan

Inisiatif #BforB bantu usahawan

Apr 9, 2020

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia, memperkenalkan inisiatif #BforB bagi mengukuhkan daya tahan perniagaan tempatan dalam menghadapi cabaran ekonomi selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

#BforB adalah platform rundingan perniagaan untuk membina ruang kolaboratif bagi perniagaan di Malaysia.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Garry Lee berkata, pasaran B2B dan B2C terjejas kerana Covid-19.

“Syarikat tempatan tidak mampu memulihkan situasi mereka secara bersendirian dan perlu membina inisiatif untuk bekerjasama dengan industri dan usahawan lain untuk mewujudkan peluang baharu.

“Kami mengambil negara China sebagai panduan dan meramalkan perniagaan tempatan akan mengalami tempoh sukar untuk memulihkan pendapatan mereka selepas PKP tamat.

“Pakej stimulasi ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan dapat membantu tetapi pemulihan ekonomi akan mengambil masa.

“Oleh itu, syarikat tempatan perlu mengambil usaha untuk bertransformasi dengan mencipta semula konsep perniagaan mereka dan meluaskan rangkaian perniagaan untuk merangsang perkembangan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Menurutnya, pada tahap mikro, kuasa beli rakyat mungkin akan berkurangan kerana masalah seperti pengangguran, pemotongan gaji dan kebimbangan hilang pekerjaan serta perbelanjaan yang cermat.

Malah, katanya seluruh dunia sedang berusaha untuk memerangi Covid-19 maka sekatan pelancongan, pengeksportan, perniagaan, dan pembekuan belanjawan akan berleluasa.

“Isu ini akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, susulan penularan wabak Covid-19, Bank Negara Malaysia mengumumkan ramalan pertumbuhan ekonomi negara akan merosot sebanyak -2.0 peratus.

Krisis ini mampu menjadi titik peralihan bagi komuniti perniagaan. Peranan #BforB ini bertujuan membantu peniaga kecil dan sederhana dalam negara menyokong pasaran sedia ada untuk barang asas.

“Gerakan ingin menyeru syarikat dengan sumber tenaga, produk atau perkhidmatan untuk mewujudkan kerjasama dengan sektor pembersihan, bekalan kimia, bahan mentah serat, pembungkusan, sokongan pemasaran, perakaunan, perkhidmatan kewangan atau bekalan makanan.

“Usaha PKP oleh kerajaan dapat menampakkan hasil dan kami harap bilangan kes Covid-19 akan mula menurun agar perniagaan dapat menyambung semula operasi.

“Kami menyeru semua industri untuk mengubah kaedah dan model pengurusan operasi untuk mengekalkan daya tahan bagi perniagaan mereka,” katanya.

Platform ini akan dilancarkan secara berperingkat bermula dengan Zon Tengah (Selangor dan Kuala Lumpur), diikuti Zon utara (Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis), Zon selatan Wilayah (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor), Zon Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu) dan Zon Malaysia Timur (Sabah, Sarawak dan Labuan).