Berita Gerakan

Jangan putar belit isu pembubaran Parlimen – Gerakan

Okt 14, 2022

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menyelar tindakan UMNO yang didakwa memutar belitkan isu pembubaran Parlimen dengan melemparkan tuduhan terhadap menteri Perikatan Nasional (PN) konon menjadi punca pembubaran.

Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan, M. Puvaniten berkata, tuduhan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta 12 menteri itu dilihat sengaja dimainkan untuk menjejaskan persepsi rakyat terhadap parti berkenaan.

“Kenapa tidak berterus terang sahaja UMNO top 5 adalah punca pembubaran Parlimen.

“Pemimpin tertinggi UMNO sekejap kata tergugat dan sekejap kata tidak tergugat.Keputusan ini dibuat tanpa mendengar suara parti-parti lain dan segmen komuniti lain. Inilah realiti yang harus diterima.

“Apa pun kenyataan dikeluarkan berhubung pembubaran Parlimen ini jangan salahkan sesiapa pun. Ini mesej yang saya nak berikan kepada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, rakyat sudah melalui tiga fasa pemerintahan yang berbeza dan ia tidak bermaksud perlu mengadaikan nyawa pada waktu musim banjir sehingga begitu terdesak untuk mengadakan pilihan raya.

“Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa mulai Isnin, telah menimbulkan seribu satu persoalan dalam kalangan rakyat dan pengundi atas pagar,” katanya. – MalaysiaGazette