Berita Gerakan

Jangan sebarkan berita palsu Covid-19 – Puvaniten

Okt 19, 2020

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 sememangnya sesuatu  tidak boleh dipandang mudah oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia sekali lagi menghadapi gelombangnya.

Tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak betul sekaligus menimbulkan rasa bimbang, panik dan tegang sebenarnya sungguh menyedihkan.

Menurut Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, H Puvaniten, pihak-pihak terbabit digesa supaya menghentikan penyebaran berita palsu berhubung pandemik maut ini.

Sambil memberikan contoh berita-berita palsu yang akhirnya merugikan rakyat ialah seperti maklumat palsu berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perlaksanaan PKPD hanya sasarkan kepada kawasan zon merah yang mempunyai kes covid yang tinggi. Elakkan penyebaran berita palsu berhubung penutupan sekolah, bank atau pasar raya di mana-mana tempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Puvanithen lagi, perlu adaptasi tanggungjawab sosial ini agar tidak mengelirukan mereka yang berada di luar kawasan zon merah dengan maklumat palsu.

“Bukan bermakna kita tidak harus berhati-hati. Pastikan kita sentiasa memakai pelitup muka, amalkan penjarakkan fizikal antara satu sama lain dan elakkan keluar dari rumah sekiranya tidak memerlukan.

“Jangan kita ambil sikap sambil lewa di sini. Mereka yang digesa untuk berada dalam tempoh kuarantin, sila patuhi arahan berkenaan.

“Begitu juga dengan arahan kuarantin 14 hari di mana hanya KKM saja boleh mengeluarkan surat pengesahan serta arahan lain.

“Kerap rujuk maklumat rasmi dan sahih dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan media rasmi untuk mendapatkan maklumat,” ujarnya.

Puvaniten menasihati orang ramai supaya mengelak berkongsi maklumat yang tidak sahih menerusi media sosial.

“Apabila anda berkongsi maklumat yang tidak sahih di sini anda mengundang panik di kalangan rakyat atau penduduk di kawasan anda. Sekiranya anda tidak pasti sila hubungi sumber atau jabatan yang rasmi untuk mendapatkan maklumat,” katanya.

Tambah Puvaniten, pelbagai platform media massa, media sosial dan media baharu harus terus digunakan bagi memastikan orang ramai sentiasa dimaklumkan dengan maklumat dan berita sahih.