Berita Gerakan

Jangan timbulkan konflik berhubung isu arak, elak pemikiran serong terhadap agama

Okt 23, 2021

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta agar tidak menimbulkan konflik berhubung isu arak bagi mengelakkan pemikiran serong terhadap agama.

Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Mak Kah Keong berkata, menguruskan perbezaan berhubung perkara itu adalah penting dalam mewujudkan keharmonian masyarakat.

Katanya, kenyataan berbaur konflik seperti menutup kilang arak hanya akan menafikan hak kepada pihak-pihak tertentu sedangkan agama-agama lain mahupun agama Islam sendiri melarang umatnya mengganggu urusan orang lain.

“Kita harus menguruskan perbezaan, jangan menimbulkan konflik contohnya kenyataan seperti menutup kilang (arak). Ada pihak yang terlibat akan rasa ini seolah-olah akan menafikan hak kehidupan mereka, ekonomi mereka dan segalanya

“Sebagai pemimpin kita akan beritahu dia…ini tiada kaitan dengan dia. Kalau kita tengok Nabi Muhammad SAW bila bukan Islam meminta perlindungan beliau akan lindung. Nabi Muhammad juga melarang mengganggu penganut agama lain kerana ia akan mencalarkan imej agama.

“Sama juga seperti apa yang dikatakan oleh individu supaya tutup kilang, ini akan mengundang pemikiran yang lebih serong terhadap agama (Islam),” katanya pada sidang media, malam ini.

Mak berkata, pemimpin-pemimpin negara juga perlu bijak dalam menguruskan perbezaan pandangan dalam hal itu kerana ia boleh memberi kesan kepada masyarakat umumnya.

“Bagi umat Islam minum arak adalah haram… tapi, untuk orang bukan Islam mereka ada haknya…yang penting ia (premis penjualan arak) kena beroperasi ikut undang-undang sedia ada

“Dalam hal ini, saya sokong pandangan Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas)…saya percaya beliau telah berjaya membuat yang terbaik menguruskan perbezaaan itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette