Berita Gerakan

KAM ajak calon SPM sertai kelas tuisyen virtual

Jul 27, 2020

SHAH ALAM – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Kelab Kita Anak Malaysia (KAM) berhasrat memperluaskan Kelas Tuisyen Virtual Kejayaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengarah Programnya, Mourhrna Anetha Reddy berkata, objektif utama program ini diadakan adalah untuk membantu calon-calon SPM yang jauh ketinggalan dalam sukatan pelajaran mereka ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Inisiatif yang diadakan ini bukan sahaja untuk membantu pelajar-pelajar membuat persediaan bahkan turut membimbing mereka dengan menyediakan soalan-soalan latihan pada setiap sesi pembelajaran.

“Jadi kami berharap lebih ramai lagi pelajar dapat turut sama menyertai program Kelas Virtual Kejayaan SPM ini yang telahpun bermula sejak 4 Julai lalu dan diadakan setiap minggu bermula pada Jumaat sehingga Ahad,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mourhrna berkata, program yang mendapat kerjasama erat daripada Biro Pendidikan Gerakan dan sokongan daripada Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau itu juga telah berjaya mencapai sasaran awal dengan 50 pelajar dan kini menerima penyertaan daripada 300 pelajar.

Katanya, setakat ini pelajar-pelajar yang mengikuti kelas tuisyen secara virtual itu juga telah memberikan komitmen tinggi dengan penyertaan sekurang-kurangnya 40 sehingga 50 pelajar dalam satu-satu sama.

“Selepas menyertai kelas virtual, pelajar juga diberikan akses ke laman web Kita Anak Malaysia dan platform Google Classroom yang mengandungi bahan-bahan pembelajaran dan klip rakaman pasca kelas virtual.

“Justeru kepada pelajar-pelajar SPM yang berminat untuk menyertai kelas tuisyen ini boleh melayari laman web di www. kitaanakmalaysia.club untuk keterangan lanjut dan pendaftaran,” katanya.