Berita Gerakan

Kejadian berlaku sekelip mata, sentiasalah pantau anak, kata ibu bayi maut jatuh tingkap

Mei 9, 2021

KUALA LUMPUR: “Kita kena sentiasa pantau (anak), tiada mak yang nak benda ini terjadi,” kata ibu kepada bayi perempuan berusia 11 bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkap bilik di tingkat tiga kediaman keluarganya di Pangsapuri Sri Aman, Jalan Aman Putra, di sini, Ahad lalu.

Norasikin Juliar, 37, berkata beliau menganggap tragedi tersebut sebagai satu pengajaran supaya jangan sesekali leka dengan keberadaan anak.

“Saya tak bermaksud yang masa itu saya leka… Kalau boleh anak itu sentiasalah berada di depan mata. Kita tak sangka dan jangka apa yang akan terjadi,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan dalam lawatan Presiden Gerakan Dr Dominic Lau hari ini.

Hasil laporan bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Selayang mendapati kematian bayi berkenaan berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.

Menceritakan tragedi tersebut, Norasikin berkata segalanya berlaku dalam sekelip mata.

Norasikin berkata beliau ketika kejadian sedang melipat baju di bilik berasingan.

“Saya baru sahaja lepaskan dia (mangsa), kiranya dia sedang main depan mata saya, tiba-tiba kakak dia bawa main di depan sebab saudara dia ramai, dekat 10 orang dalam bilik itu.

“Jadi masa kejadian itu memang berlaku dengan pantas, tidak sampai beberapa minit dah jatuh ke bawah,” katanya.

Menurut Norasikin, suaminya Khairul Faizal, 37, sehingga hari ini tidak dapat menerima hakikat bahawa anak bongsu mereka daripada tujuh beradik itu telah meninggal dunia.

Sementara itu, Lau berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan supaya kesemua Program Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dibina kelak diwajibkan supaya dipasangkan gril.

“Keselamatan rakyat mesti diutamakan, dalam masa terdekat kita akan beri cadangan atau berjumpa Menteri Wilayah Persekutuan atau timbalannya selain KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk bincang bagaimana nak adakan gril di PPR atau rumah mampu milik,” katanya.

Selain itu, Lau berkata pihaknya juga akan meminta doktor psikologi memberikan kaunseling kepada keluarga terbabit supaya kehidupan mereka dapat diteruskan seperti biasa kerana ketika ini mereka terkesan dengan kejadian tersebut.

不降油价 反削减补贴 希盟违诺失信于民

不降油价 反削减补贴 希盟违诺失信于民

(槟城18日讯)民政党全国署理主席胡栋强抨击首相安华,于2022年大选时高喊上台即降油价,如今人民苦等了1年半,却等不到安华兑现承诺降低油价,反而却等来了政府削减汽油补贴,让油价上涨,希盟失信于人民,安华亏欠人民一个道歉!

baca lagi