Berita Gerakan

Keputusan Masa Depan MoU Bukan Hak MKT UMNO

Apr 17, 2022

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada meneruskan atau tidak Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta parti pembangkang itu.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berpandangan, keputusan itu seharusnya dilakukan Ahli Parlimen Bera terbabit dan bukan dikeluarkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu membuktikan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“MoU antara kerajaan dan pembangkang, itu kena tanya Perdana Menteri dan pimpinan pembangkang, khususnya kepada PH. Jelas, tindakan UMNO itu menunjukkan PRU-15 sudah semakin menghampiri.

“Sebagai sebuah parti politik, kita kena bersiap siaga terhadap perkara itu dan paling penting sekarang adalah bagaimana semua parti politik menarik minat rakyat agar turun mengundi nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa GERAKAN di ibu pejabat parti itu di Menara PGRM di sini.

Sebelum ini, Ismail Sabri akur dengan keputusan MKT UMNO untuk tidak meneruskan MoU berkenaan dan sebagai Naib Presiden parti itu, beliau tertakluk kepada keputusan dilakukan.

Khamis lalu, MKT UMNO memutuskan MoU antara kerajaan dan PH yang akan berakhir 31 Julai ini, tidak akan diteruskan.

Pada 13 September tahun lalu, kerajaan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Ismail Sabri bersama ketua parti gabungan PH, iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

MoU itu antaranya merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Pada 10 Mac lalu, Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU berkenaan, Anthony Loke dilaporkan berkata, pembangkang bersedia meneruskan perjanjian itu selepas ia tamat pada Julai.

Dalam perkembangan berasingan, Dominic menegaskan pemimpin di negara ini perlu bersama-sama mencari jalan bagi menarik semula hati rakyat yang sudah muak dan bosan dengan suasana politik semasa.

Lantaran itu, beliau menggesa kerajaan bersama blok pembangkang melaksanakan program, mahupun kempen yang dapat memikat semula hati rakyat, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka terhadap politik.

“Jika keyakinan rendah dan rakyat tidak percaya politik, mereka tidak akan sama sekali keluar untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“GERAKAN sedar perkara ini sudah semakin serius dan perlu diambil tindakan segera.

“Kita akan cari jalan bagaimana nak selesaikan untuk tingkatkan semula keyakinan rakyat kerana mereka sudah muak dengan politik negara kita. Ini perlu diambil secara tegas kerana kestabilan itu amat penting,” katanya.

Sementara itu, Dominic berpendapat, setiap pemimpin perlu memainkan peranan dengan mengamalkan politik matang.

Mereka juga, katanya, harus mengelakkan percanggahan pendapat dan memastikan pergaduhan dapat dihentikan serta-merta.

“Ini masa untuk selesaikan masalah dan cabaran dihadapi rakyat, seperti kekurangan peluang kerja, pemulihan ekonomi serta situasi banyak industri masih belum pulih. Ini sepatutnya kita fokuskan untuk bantu masyarakat.

“Kena ketepikan agenda politik seperti elakkan pergaduhan akibat pandangan yang tidak matang.

“Kita perlu bersama membantu dan selesaikan masalah rakyat yang masih menderita disebabkan kesan COVID-19,” katanya. – Getaran, 17 April 2022.