Siaran Akhbar

Kerajaan Campuran tak endah dengan kebajikan dan masalah rakyat

Jun 9, 2023


Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengecam kerajaan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim kerana tidak memikirkan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat.Naib Presiden GERAKAN, Dato’ Baljit Singh berkata, tindakan kerajaan menarik semula subsidi ayam dan telur pada hujung bulan Jun ini akan menambahkan lagi beban rakyat.

“Sebelum ini, kerajaan sudah menarik subsidi tarif elektrik, membuat semakan semula tarif air, caj RM1 hospital kerajaan dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman juga berlaku. Kini kerajaan mahu menarik subsidi ayam dan telur pula”

“Semua benda nak dinaikkan. Walhal sekarang harga telur sudah mahal, kini subsidi ditarik pula. Sudah pasti harga semakin meningkat. Kerajaan hanya menutup sebelah mata mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu sebelum ini, penamatan subsidi itu membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun, berbanding harga siling runcit dan memastikan bekalan ayam dan telur dapat distabilkan.

Tambah Baljit, bukan itu sahaja penamatan subsidi itu juga akan menyebabkan golongan B40 resah gelisah kerana telur antara menjadi pilihan utama mereka.

“Penarikan subsidi ayam dan telur ini sudah semestinya memberi kesan yang mendalam kepada rakyat terutamanya golongan B40 kerana itu adalah antara makanan pilihan mereka.

“Apakah inisiatif Kerajaan selepas menarik semula subsidi ini, Duduk dan lihat rakyat menderita sahaja?” tegas Baljit

Baljit Singh menggesa kerajaan agar tidak mementingkan ekonomi sahaja. Kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah kebajikan rakyat dengan mempertimbangkan semula penarikan subsidi ayam dan telur ketika ini.

DATO’ BALJIT SINGH
NAIB PRESIDEN
PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA