Berita Gerakan

Kerajaan negeri DAP digesa bina lebih banyak rumah mampu milik – Gerakan

Jul 24, 2021

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri DAP membina lebih banyak rumah mampu milik menggunakan dana dari Akaun Amanah Sumbangan Perumahan Awam Kos Rendah (AASPAKR) supaya rakyat negeri ini dapat memiliki rumah khususnya ketika kehidupan rakyat terjejas akibat penularan Covid-19.

Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, sejak tahun 2008, kerajaan negeri mula mengutip sumbangan yang dibayar pemaju seakibat mereka tidak membina Rumah Mampu Milik ‘A’ (Kos Rendah) dan ‘B’ (Kos Sederhana Rendah), namun status akaun kutipan tersebut tidak dijelaskan.

Tong Keong turut mendakwa kerajaan negeri dilihat hanya menjaga kepentingan pemaju bukannya rakyat Pulau Pinang.

“Apakah status AASPAKR itu sekarang? Ke manakah dana itu digunakan? Kerajaan harus menjelaskan status Akaun itu.

“Kerajaan negeri seolah-olah tidak berminat membina rumah kos rendah dan sederhana rendah untuk dimiliki penduduk sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, kerajaan negeri harus mengambil berat situasi rakyat Pulau Pinang di mana banyak isi rumah golongan M40 terjejas pendapatan akibat wabak Covid-19 sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu membeli rumah dijual kerajaan negeri.

“Mengikut keadaan kehidupan yang dihadapi rakyat sekarang, adalah menjadi satu beban untuk mereka membeli rumah yang berharga RM300,000.

“Kerajaan negeri perlu mengambil berat tentang rakyatnya dengan membina lebih banyak rumah yang berharga RM75,000 di Bukit Gedung supaya ia mampu dibeli rakyat Pulau Pinang,” tegas beliau.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo mengumumkan 1,267 unit rumah mampu milik akan dibina di Bukit Gedung. – MalaysiaGazette