Berita Gerakan

Ketua Menteri P. Pinang dituntut perjelas status projek terowong

Ogo 4, 2020

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan menyerahkan petisyen ”Kita Nak Tahu Kebenaran Isu Projek Terowong” kepada Ketua Menteri Pulau Pinang bagi menuntut kerajaan penjelasan status projek terowong dasar laut.

Ketua Biro Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan Komunitinya, Dr Kiew Hen Chong berkata, ramai yang tertanya-tanya mengenai projek itu walaupun Chow Kon Yeow pada pertengahan bulan Julai telah menjawab beberapa pertanyaan pihaknya.

Menurutnya, orang ramai masih meragui pelaksanaan projek itu kerana pada pertengahan Disember 2019, Ahli Exco bagi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh mengatakan tanah seluas 20 ekar di Gurney Wharf yang pada awalnya dirancang untuk menyambungkan laluan ke terowong dasar laut akan digunakan untuk penyediaan kemudahan awam.

Di samping itu, pada awal bulan Julai lalu, Ewein Berhad mengumumkan penamatan perjanjian dengan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd bagi projek pelaksanaan bersama pembangunan tanah di Pulau Pinang.

”Adakah penarikan Ewein daripada projek itu akan mempengaruhi pelaksanaan projek terowong dasar laut? Ini kerana 89 peratus Ewein Zenith II Sdn Bhd yang dimiliki Ewein Berhad akan melaksanakan projek pembangunan tanah Bersama Konsortium Zenith Construction.

“Dan setelah pengumuman Ewein Berhad itu, Konsortium Zenith perlu memulangkan ratusan juta ringgit kepada Ewein Zenith II berdasarkan perjanjian kedua-dua syarikat itu. Dengan ini, saya percaya bahawa ia pasti akan memberi impak tertentu kepada Consortium Zenith Construction Berhad yang merupaka kontraktor bagi projek terowong dasar laut untuk melaksanakan projek itu,” katanya lagi.

Kiew menambah, parti itu juga mempersoalkan adakah tanah seluas 20 ekar di Gurney Wharf yang bakal dijadikan akses terowong dasar laut akan menukar kegunaan tapak itu sebagai tempat untuk menyediakan kemudahan awam.

”Atau adakah akses itu akan diubah ke tempat yang lain? Di manakah lokasinya?” soalnya.

Tambahan lagi, beberapa orang ahli Exco DAP Pulau Pinang telah dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang yang dipercayai berkaitan dengan siasatan skandal projek terowong dasar laut sekaligus menimbulkan kesangsian rakyat bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang terlibat dalam isu rasuah bagi projek ini.

Tegasnya, rakyat berhak mengetahui status terkini projek itu kerana kebanyakan penduduk Pulau Pinang telah membuat keputusan semasa pilihan raya umum yang lepas dengan memberi sokongan yang kuat kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyahut seruan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pada masa itu menggesa rakyat memilih PH jika rakyat mahukan projek berskala besar Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang dan projek terowong dasar laut itu.

“Kami berharap projek terowong dasar laut ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut garis masa yang ditetapkan baru-baru ini kerana terdapat penangguhan pembinaan projek ini.

”Pada asalnya, projek ini akan bermula pada tahun 2022 dan siap dalam tahun 2025 hingga 2027 tetapi Ketua Menteri memberitahu pada bulan lalu, projek itu akan bermula pada Januari tahun 2026 dan siap pada Disember tahun 2029.

“Laporan kebolehlaksanaan projek itu akan dibentangkan di mesyuarat Exco pada suku keempat ini.

“Rakyat Pulau Pinang telah memberi undi kepada anda (DAP), maka anda perlu memberi penjelasan kepada rakyat Pulau Pinang dalam isu ini, termasuk sama ada kerajaan Negeri Pulau Pinang terlibat dalam isu rasuah dalam projek terowong dasar laut ini,” katanya.