Berita Gerakan

Lawan Covid-19 dahulu, bincang politik kemudian

Jun 22, 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar memanggil sidang Parlimen dengan secepat mungkin dengan pembentukan satu jawatankuasa untuk meneliti aspek pembukaan Parlimen.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, langkah yang diambil itu juga menunjukkan komitmen dan keikhlasan kerajaan Pusat untuk membuka persidangan Parlimen.

“Jawatankuasa dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang ini merupakan satu langkah yang baik dan selaras dengan sistem demokrasi  diamalkan di negara kita,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, seperti mana yang dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.

Maka, ujarnya tarikh dan masa sudah tentunya akan ditetap dan diputuskan setelah segala kerja penilaian selesai untuk memastikan persidangan Parlimen mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi menjaga keselamatan wakil rakyat dan pegawai-pegawai yang menghadirinya..

“Berhubung dengan desakan pihak Umno untuk mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada 21 Jun, tarikh kenyataan yang dikeluarkan Umno, saya berpendapat segalanya bersandar kepada progres jawatankuasa itu dalam menjalankan kerja penilaian mereka,” katanya lagi.

Tambahnya, selain daripada wakil pembangkang, pihaknya percaya wakil Umno yang juga merupakan sebahagian wakil kerajaan merupakan anggota bagi jawatankuasa itu.

“Kami setuju pembukaan Parlimen amat penting dan mengharapkan persidangan itu dapat diadakan dengan segera untuk membenarkan ahli Parlimen membincangkan hal-ehwal rakyat dan isu-isu berhubung pandemik Covid-19,” ujarnya.

Namun, kata beliau untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 juga mustahak bagi memastikan rakyat kembali kepada kehidupan normal dan ekonomi negara dapat dipulihkan selepas pembukaan semula sempadan dengan segera.

Beliau menambah, ssaha melawan Covid-19 adalah tanggungjawab bersama, wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang harus mengetepikan pendirian politik masing-masing.

“Kami berpendapat Persidangan Parlimen itu boleh diadakan secara maya dan fizikal secara serentak ketika kita dalam mendepani pandemik Covid-19 dan juga untuk memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Covid-19 musuh kita! Kita mesti bersatu padu memerangi pandemik Covid-19, jangan kita berlawan sesama sendiri dari segi pendapat, pendekatan dan sebagainya.

“Lawan Covid-19 dahulu, bincang politik kemudian,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/6/2021