Berita Gerakan

Lupakan konsep kerusi parlimen tradisional – Presiden Gerakan

Mac 14, 2021

KUALA LUMPUR, 13 Mac — Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengingatkan anggota parti itu untuk melupakan konsep kerusi parlimen tradisional menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menjelaskan konsep kerusi tradisional atau kawasan sesebuah parti politik tidak lagi relevan dalam situasi politik semasa yang kian berubah.

Lau berkata Gerakan akan menentukan segala caranya tersendiri dan akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam mengemudi sokongan rakyat Malaysia dalam PRU15.

“Lupakan konsep kerusi tradisi, kawasan parti itu, parti ini. Ubah pemikiran seperti ini. Tiada lagi kerusi tradisional. Apa yang penting adalah calon yang boleh menang di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar presiden pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan yang ke-49 di Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik, Menara PGRM di sini, hari ini.

Lau juga menyeru ahli parti itu untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam percaturan politik negara dengan jangkaan pertandingan pelbagai penjuru dalam pilihan raya akan datang.

“Mungkin kita akan melihat pertandingan dalam kalangan parti komponen seperti Pakatan Harapan (PH), UMNO dan sebagainya. Mungkin ada pertandingan tiga penjuru, empat penjuru atau satu lawan satu,” jelasnya.

Parti gabungan PN itu percaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu memberi sebuah kerajaan ‘demi rakyat’ dan tidak akan campur tangan dalam sistem kehakiman negara.

Lau berikrar Gerakan akan membantu PN untuk menang pada PRU15 dengan menggerakkan jentera parti itu sepenuhnya.

Beliau juga menegaskan penyertaan Gerakan dalam PN adalah dengan mengekalkan pemahaman parti yang tidak berasaskan etnik ataupun perkauman.

Menurutnya, parti juga menggariskan empat rancangan tindakan parti menjelang PRU15, antaranya membina semula imej Gerakan, persediaan menghadapi pertandingan pelbagai penjuru, memulakan war room atau bilik perang dan menggunakan peluang media sosial dalam berkempen.

Lau juga menggesa anggota parti itu untuk merangka pendekatan baharu iaitu nilai inovasi sebagai norma baharu dalam arena politik

Katanya, nilai inovasi yang dimaksudkan bersasarkan keperluan dan kehendak politik semasa termasuk E-kempen pilihan raya iaitu norma baharu yang dijangka pada PRU15 akan datang dan oleh itu bakal calon mestilah menguasai pelbagai bahasa dan juga penyampaian dalam media sosial.

“Siapa nak jadi calon mesti mengetahui pelbagai bahasa. Guna media sosial dalam E-kempen iaitu kempen dalam norma baharu (PRU15) kali ini (akan datang),” katanya.

Selain itu Lau juga menyatakan sasaran parti ialah untuk kembali mempunyai kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri dan juga Dewan Rakyat kelak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen dan kalah semua 31 kerusi DUN yang ditandinginya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN kemudiannya merasmikan persidangan berkenaan secara maya.

Persidangan itu berlangsung secara maya dan bersemuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

— BERNAMA