Pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dibuat pada 8 November sedikit menghampakan apabila peratusan calon wanita yang bertanding hanyalah seramai 16 orang berbanding jumlah 112 calon, atau 14%.
Bagaimanapun, calon-calon wanita berjaya mencuri tumpuan pengundi dan media pada PRN Melaka yang didominasi kaum lelaki ini.
Perhatian diberikan kepada calon Pakatan Harapan (PH) di Sungai Rambai, Farzana Hayani yang merupakan siswazah UiTM berusia 21 tahun yang juga pemegang diploma Komunikasi dan Pengajian Media Massa itu menjadi calon termuda pada PRN kali ini.
Calon paling tua juga merupakan seorang wanita, iaitu Kalsom Nordin dari Barisan Nasional (BN) yang bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Bagi calon BN di Kesidang, Leong Hui Ying, beliau memulakan kempen dengan langkah kiri apabila terpalit kontroversi pada awal tempoh berkempen, apabila tular video beliau yang dikatakan tidak fasih berbahasa Melayu.
Leong yang pertama kali bertanding itu akan menentang penyandang, Seah Shoo Chin daripada DAP dan Patrick Ng Chin Kae daripada Perikatan Nasional (PN).
Ketika ditemui pada pelancaran manifesto calon itu, Leong yang berusia 29 tahun itu kelihatan masih gementar dan kekok apabila dikerumuni media.
Namun itu tidak menghalangnya menyuarakan kesediaannya bekerjasama rentas parti apabila membabitkan isu wanita.
Katanya, dia bersedia untuk bekerjasama dengan ahli politik daripada blok lawan berhubung isu-isu wanita dan isu-isu membabitkan anak muda.
Seorang lagi calon wanita BN yang mencuri tumpuan ialah Khaidhirah Abu Zahar, anak bekas ketua menteri Melaka yang juga muka baru dalam pilihan raya bagi kerusi Rim.
PN paling ramai calon wanita
Sebelum pembubaran DUN, Melaka mempunyai seramai dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) wanita.
Sebagai rekod, untuk PRN kali ini PH menurunkan empat calon wanita, PN (enam) dan BN (lima) dan Putra dengan seorang calon wanita.
Dalam satu temubual bersama MalaysiaNow baru-baru ini, calon PN di Tanjung Bidara Mas Ermieyati Samsudin berkata peratusan kecil itu tidak sepatutnya berlaku.
Namun katanya dalam Parlimen Masjid Tanah, PN meletakkan tiga calon wanita daripada keseluruhan lima calon.
“Walaupun PN hanya dua tahun dilahirkan, namun dengan meletakkan enam calon wanita saya kira itu permulaan yang baik. Sebab itu perlu ada usaha supaya kita (calon wanita) menang PRN ini supaya calon wanita bukan hanya dilabel tangkap muat,” katanya.
Isu perwakilan wanita dalam politik saban tahun menjadi tumpuan yang diperjuangkan oleh aktivis.
Ia turut dibincangkan semasa persidangan Dewan Rakyat pada September lepas.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff memaklumkan ramai calon wanita yang bertanding pada pilihan raya namun tidak ramai berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.
Pengundi wanita paling besar
Pengarah eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisommudin Bakar berkata calon wanita yang kecil tidak mewakili pengundi wanita yang merupakan jumlah majoriti berbanding pengundi lelaki.
Katanya, keseluruhan pengundi wanita berjumlah 254,666 berbanding pengundi lelaki 240,529 dengan jumlah perbezaan sebanyak 14,137.
“Sepatutnya calon wanita perlu lebih ramai berpartisipasi sebagai calon dalam PRN ini,” katanya kepada MalaysiaNow.
Meskipun kesemua blok gagal memenuhkan kuota 30% yang dituntut, sekiranya PN mencalonkan Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri menunjukkan satu pengiktirafan tertinggi terhadap keupayaan calon wanita.
“Calon wanita masih tertinggal jauh dari segi jumlah berbanding calon lelaki yang menyertai PRN Melaka kali ini.
“Ruang dan peluang sewajarnya diberikan lebih luas bagi membolehkan ramai calon wanita terlibat dalam proses demokrasi akan datang atau sekurang-kurangnya memenuhi 30% kuota wanita,” kata Hisommudin.
Sementara itu, ketua penyelidik di Institute Iris, Hanis Noor berkata, tidak timbul sama ada calon wanita bersedia menjawat jawatan itu kerana apabila mereka mencalonkan diri untuk bertanding, ia sudah menjadi prasyarat persediaan mereka untuk dicalonkan sebagai ketua menteri.
“Rakyat Melaka berkehendakkan kepada kestabilan negeri berbanding sesuatu yang baru.
“Aspek kestabilan perlu ditonjolkan oleh calon ketua menteri melalui karakter berkarisma dan dominasi.
“Saya tidak menolak ada kebarangkalian, perkara ini turut ditunjukkan calon wanita,” katanya kepada MalaysiaNow.