Berita Gerakan

MoU uji kerjasama dwi partisan

Sep 14, 2021

KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik menjadi titik sejarah penting untuk melihat sejauh mana kerjasama dwi partisan di Malaysia mampu menangani krisis kesihatan, ekonomi dan politik.

Ketua Penerangan Parti GERAKAN, Koo Shiaw Lee, berkata dalam situasi ketika ini, kerajaan tidak lagi boleh kekal dengan pendekatan ‘silo’ sebaliknya perlu membabitkan penyertaan pembangkang bagi mengelakkan ketegangan politik dan mewujudkan kebersamaan demi rakyat.

“Dengan berpandukan enam perkara yang termaktub dalam MoU ia jelas membuktikan penyatuan sebenar politik Malaysia.

“Sebenarnya kerjasama ini boleh meredakan perbalahan politik manakala tumpuan boleh diberikan berhadapan pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Ia membabitkan enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Pada masa sama, Shiaw Lee yang juga Naib Presiden GERAKAN, berkata parti itu menyokong penuh persefahaman terbabit kerana ia memang membantu mengembalikan kehidupan rakyat dan ekonomi mikro serta makro.

Katanya, selain menjulang semangat Keluarga Malaysia, perkara itu juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu mewujudkan kestabilan politik.

“Kerjasaama ‘dwi-partisan’ ini amat diperlukan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.