Berita Gerakan

Muhyiddin PM jika PN menang PRU15

Ogo 27, 2022

SERDANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sewaktu Konvensyen PN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) hari ini.

Justeru katanya, gabungan parti dalam PN perlu menumpukan kekuatan dan perpaduan bagi memenangi PRU15 seterusnya mengambil alih kerajaan persekutuan.

“Dengan kekuatan sedia ada termasuk menteri kanan, menteri Kabinet, kita perlu gunakan sumber sedia ada untuk turun padang dapat sokongan.

“Kita akan ambil alih kerajaan Persekutuan dan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10,” katanya.

Menurut Dominic Lau, semua komponen PN perlu mendapat sokongan dan undi daripada setiap lapisan masyarakat sekiranya ingin meraih dalam PRU15.

“Kita PN mewakili daripada semua bangsa, jadi PN perlu membela hak orang Melayu, Cina, India, Orang Asli, dan setiap rakyat mempunyai MyKad,” ujarnya.

Terdahulu, PN mencadangkan supaya sebuah agensi sehenti khusus diwujudkan untuk mengumpul data mengenai individu dan isi rumah yang benar memerlukan bantuan.

Selain itu, agensi boleh bertujuan menyelaras segala bentuk bantuan yang hendak disalurkan.

Muhyiddin berkata, agensi itu boleh mengambil model Centrelink dilaksanakan di Australia dalam mengurus penyaluran bantuan kepada penerima yang layak.

“Suatu sistem semakan kelayakan penerima bantuan dan penyaluran bantuan yang cekap, cepat dan seragam boleh diwujudkan untuk memastikan tiada pertindihan penerima bantuan dan tiada seorang pun yang layak menerima bantuan tercicir daripada menerimanya.

“Dengan cara ini, sumber kewangan kerajaan dapat dioptimakan di samping memastikan tiada seorang yang tercicir,” katanya dalam ucap tama Konvensyen PN.

Menurut Muhyiddin, PN menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera menangani masalah golongan berpendapatan rendah dengan tumpuan mesti diberikan kepada penyediaan pakej bantuan komprehensif dan bersasar kepada golongan memerlukan bantuan.

Katanya, selain itu kerajaan wajar merangka tindakan yang lebih komprehensif untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan menstruktur semula ekonomi negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pelbagai bentuk bantuan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran khususnya golongan muda yang sedang mencari pekerjaan mesti diberikan keutamaan.

Justeru katanya, suatu daya usaha yang lebih terfokus, pantas dan tangkas mesti digembleng dengan melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan industri untuk memastikan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 di negara ini berlaku dengan lebih deras.

“Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana di negara kita juga perlu menjalani proses transformasi. PMKS di negara kita tidak boleh terus berada ditakuk lama.

“Lebih 90 peratus perusahaan di Malaysia berstatus PMKS tetapi hanya menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” ujar beliau.

Muhyiddin menambah kerajaan juga perlu mengambil serius tentang peratusan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK atau CEGDP negara yang masih rendah.

Katanya, komponen pendapatan yang terkumpul hasil daripada pengeluaran iaitu pampasan pekerja hanya menyumbang 34.8 peratus  kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2021, iaitu merosot 2.3 peratus berbanding 37.1 peratus pada tahun 2020. Ini

“Ini bermakna pekerja di negara kita secara umumnya menerima upah yang lebih rendah dengan tahap produktiviti yang juga rendah. Jika trend ini berterusan, sasaran 48 peratus CEGDP pada tahun 2030 seperti yang ditetapkan di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 masih jauh untuk dicapai,” ujarnya. – UTUSAN